MILA Kunis
MILA Kunis
Ardini Sophia Sina

Tidak ramai tahu kisah percintaan antara aktres Mila Kunis dan Macaulay Culkin sepanjang lapan tahun mereka bersama sebagai pasangan kekasih.

Apa yang umum tahu adalah mereka mula menjalin hubungan pada 2002. Ketika itu, kerjaya seni Mila baru berkembang dan Culkin pula meninggalkan dunia lakonan.

Pasangan selebriti itu lebih selesa mengunci mulut setiap kali ditanya mengenai hubungan mereka.

Berpisah pada 2011, Mila bagaimanapun hanya berkongsi sejarah percintaan mereka baru-baru ini.

Kata Mila, ia perpisahan dahsyat buat dirinya.

“Kami bercinta ketika saya berusia 18 tahun dan dia 21 tahun.

“Kami bersama sepanjang saya berusia 20-an. Boleh dikatakan, hubungan kami mematangkan saya dan mengerti makna sebenar kehidupan.

“Kita perlukan ‘batu’ yang kukuh untuk berpaut agar dapat meneruskan kehidupan yang perit. Sepanjang bercinta, kami banyak diuji pelbagai dugaan tetapi mampu melaluinya,” kata Mila.

Tambahnya, percintaan mereka mungkin lain kisahnya andai bertemu pada usia 27 tahun. Meski bukan lagi pasangan kekasih, Mila dan Culkin mengekalkan hubungan baik sebagai rakan.

Mengimbas kembali punca perpisahan mereka, tidak banyak yang diperkatakan Mila. Namun, wanita itu menyalahkan diri sendiri dan mengakui menyesali banyak perkara.

“Kami berpisah secara senyap. Ketika itu, saya sibuk mempromosikan filem Black Swan. Seperti mana saya enggan memberikan sebarang komen mengenai hubungan kami begitu juga dengan perpisahan.

“Saya mengambil masa lama untuk mengakui secara terbuka bahawa kami sudah berpisah. Ia sangat menyakitkan.

“Banyak yang saya sesali serta tertanya-tanya kenapa perlu lakukan ini dan itu. Saya ingin beri ruang kepada diri sendiri mencari jawapan kepada setiap persoalan itu,” katanya.

Perkembangan lain, Mila bakal muncul dengan filem The Spy Who Dumped Me. Ia mengisahkan Audrey dan Morgan terbabit dengan konspirasi selepas mendapati teman lelaki mereka sebenarnya perisik.

Filem lakonan Mila, Kate McKinnon dan Justin Theroux itu bakal ditayangkan pada2 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 4:00 AM