SELENA kini dikatakan bercinta dengan Niall Horan.
SELENA kini dikatakan bercinta dengan Niall Horan.
Susunan Georgie Joseph


Percintaan antara Selena Gomez, 23 dan Justin Bieber, 21, cukup rumit. Meskipun hubungan pasangan ini sudah berakhir, Selena masih dikaitkan dengan bekas kekasihnya itu.

Mengimbas kembali detik awal percintaan mereka, pelbagai reaksi diberikan peminat. Ada yang merestui, tidak kurang juga mengeji namun ramai berpendapat pasangan ini sepadan.

Bagaimanapun, kisah cinta mereka semakin menjengkelkan apabila sering putus dan kembali bersama. Keadaan menjadi reda apabila kedua-duanya memutuskan menoktahkan hubungan mereka.

Selena kini nampaknya sudah bersedia menerima cinta baru apabila dilihat semakin intim dengan anggota kumpulan One Direction, Niall Horan.

Hubungan rapat mereka hangat diperkatakan sejak bulan lalu.

Dilihat hadir bersama di sebuah acara hiburan menguatkan dakwaan mereka kini hangat bercinta.

Dua bintang ini khabarnya mula intim ketika menghadiri majlis hari jadi Jenna Dewan-Tatum, isteri kepada aktor, Channing Tatum. Majlis itu diadakan di Bootsy Bellows, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Selena dan Niall dikatakan asyik berkepit dalam acara yang berlangsung meriah itu.

Sumber yang turut berada di majlis berkenaan mendedahkan Selena dan Niall menari sepanjang malam. Selain berpelukan, mereka turut berkucupan.

Bagaimanapun, sehingga saat ini belum ada kenyataan dikeluarkan kedua-dua pihak bagi mengesahkan hubungan itu.

Sebelum menghadiri majlis sambutan ulang tahun itu, mereka pernah menjayakan persembahan di Staples Center.

Ramai selebriti terkenal lain turut hadir pada acara itu termasuk Ashton Kutcher, Mila Kunis, Jessica Alba, Adam Levine dan Lea Michele.

Sebuah majalah di United Kingdom (UK) melaporkan Selena sedang menjalin hubungan dengan seseorang baru-baru ini.

Selena bagaimanapun berkata, dia suka berpacaran dengan lelaki lebih tua daripadanya.

Penyanyi Same Old Love itu berpisah dengan Justin tahun lalu. Bulan lalu, mereka dilihat masuk ke sebuah bar hotel namun tidak menjelaskan status sebenar hubungan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 10:42 AM