Susunan Oleh Ardini Sophia Sina


Siapa sangka aktres jelita Bollywood, Sonam Kapoor, 30, pernah berhadapan masalah berat badan sebelum menceburi dunia lakonan.

Mewarisi bakat ayahnya, Anil Kapoor malah ramai keluarganya bergiat dalam dunia lakonan di India, Sonam mengakui jiwanya lebih kepada menjadi pengarah dan penulis skrip. Malah pernah menjadi kru untuk filem Black kerana mahu bekerja dengan Rani Mukerji.

Bagaimanapun, langkahnya sebagai pelakon bermula 2007 apabila pengarah Sanjay Leela Bhansali mengambilnya berlakon untuk filem Saawariya tetapi dengan syarat menurunkan berat badannya yang ketika itu 80 kilogram.

Atas motivasi Bhansali, Sonam berjaya menurunkan beratnya 35 kilogram dalam tempoh dua tahun.

Mengakui lasak ketika zaman persekolahannya, Sonam kini dikenali sebagai aktivis memperjuangkan hak wanita.

Ketika mempromosikan filem terbarunya baru-baru ini, Sonam turut menasihatkan wanita supaya terus berusaha memperbaiki kehidupan.

Katanya, ramai wanita bekerja merungut upah yang dibayar tidak berbaloi dengan beban tugas mereka. Bagaimanapun, Sonam menyarankan mereka yang tidak berpuas hati mencari kerja yang mempunyai pendapatan lebih tinggi.

“Kalau seseorang itu rasa upah diberikan tidak setara dengan beban kerja, kita harus berjuang untuk mendapatkan hak. Cara terbaik, dengan tidak melakukan pekerjaan berkenaan. Jangan sesekali bekerja dengan majikan yang memberikan kita upah sedikit tetapi beban kerja yang banyak.

“Setiap wanita yang diperlakukan tidak adil harus mencari jalan penyelesaian. Merungut saja tidak membantu,” katanya.

Tidak malu mengakui dirinya feminis, dia juga sangat menyokong setiap gerakan memperjuangkan nasib yang menimpa kaum wanita.

“Menjadi feminis adalah satu pemahaman yang tidak membabitkan jantina. Ia lebih kepada keyakinan diri dan tetap berpegang teguh dalam sesuatu perkara yang kita yakini betul.

“Ayah juga seorang feminis. Dia percaya walaupun saya seorang wanita, dia melayan saya sebagai individu yang mampu mengubah dan cekal menghadapi masalah yang melanda.

“Dia lelaki paling baik yang saya kenali. Dia sentiasa menyokong saya dan adik. Dia percaya wanita sebenarnya mampu melakukan banyak perkara lebih daripada lelaki. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seperti orang lain,” katanya.

Dia juga sering dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan gandingannya dalam filem tetapi setiap kali itu juga akan dinafikannya.

Ketika berlakon dalam Saawariya, dia dikaitkan dengan Ranbir Kapoor kemudian dikaitkan pula dengan pengarah I Hate Luv Storys, Punit Malhotra.

Pada 2014, dia dikatakan menjalin hubungan dengan usahawan Sahir Berry tetapi berpisah beberapa bulan kemudian dan kini Sonam memilih untuk menyimpan kisah peribadinya jauh daripada pengetahuan umum dan perhatian media.

Sonam juga enggan berbicara mengenai perkara peribadi apabila ditanya media. Bakal muncul dalam filem Prem Ratan Dhan Payo berganding dengan Salman Khan, Sonam sekali lagi dipancing mengenai cinta. Kali ini ada bertanya rahsianya dalam percintaan.

Mengakui masih solo, Sonam gembira kerana dapat berlakon sebagai pasangan bercinta. Menerusi lakonan, dia berpeluang menzahirkan sikap romantik yang terpendam dalam dirinya.

“Saya masih belum menemui cinta sejati tetapi saya percaya cinta hingga akhir hayat itu wujud. Walaupun tidak ada pengalaman, saya berjaya melakonkan babak romantik dalam filem berkenaan.

“Berganding dengan Salman Khan menjadikan lakonan saya lebih mudah. Dia bukan hanya berpengalaman dalam lakonan tetapi juga pernah bercinta. Realiti itu sebenarnya banyak membantu kita menjadikan lakonan seperti realiti,” katanya.

Filem Prem Ratan Dhan Payo bakal menemui peminat filem Bollywood pada 12 November depan. Naskhah itu berdasarkan novel The Prince And The Pauper.

Ia mengisahkan Raja Prem yang ingin menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa jauh daripada kehidupan glamor. Dia tidak sengaja berjumpa dengan Vijay, lelaki yang seiras dengannya. Vijay dan Prem bersetuju untuk saling bertukar identiti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:02 AM