HYUNA mengaku berpisah secara rasmi dengan DAWN namun masih berkawan baik. - FOTO Google
HYUNA mengaku berpisah secara rasmi dengan DAWN namun masih berkawan baik. - FOTO Google
HM Digital

ANNYEONGHASEYO!

Sejak penyanyi HyunA dan DAWN terbuka mengenai percintaan mereka pada 2018, kisah romantik pasangan itu terus menjadi buruan. Ramai suka melihat dan merestui hubungan mereka.

Bagaimanapun, kisah cinta mereka akhirnya kecundang di tengah jalan apabila HyunA mengumumkan berpisah dengan DAWN baru-baru ini. Terlerai sudah kasih mereka selepas lebih empat tahun bercinta.

Namun begitu, perpisahan itu ternyata berlaku secara damai. Menurut penyanyi terbabit, hubungannya dengan DAWN masih lagi baik-baik saja dan terharu sokongan ramai selama ini.

"Kami sudah berpisah. Kami memutuskan untuk kekal sebagai sahabat karib serta rakan sekerja bermula dari sekarang. Terima kasih kerana selalu sokong dan memantau kami," katanya.

Apapun, perpisahan itu nampaknya mencetuskan pelbagai reaksi. Bahkan, ada kenyataan fitnah tidak berasas dilemparkan terhadap HyunA dan cukup mengejutkan.

Keesokan hari selepas pengumuman itu, DAWN pula tampil dengan kenyataan mahu saman penyebar fitnah terbabit.

Ia berpunca daripada sebuah hantaran palsu yang mengaitkan dirinya.

Komen yang kononnya datang dari Instagram DAWN itu menuduh HyunA berahsia mengenai kisah silamnya. Penyanyi itu didakwa curang dengan lelaki lain sepanjang percintaan mereka.

Selain itu, komen terbabit mengatakan HyunA memiliki seorang anak yang dirahsiakan. Penyanyi itu turut didakwa pernah melakukan penguguran sewaktu di sekolah menengah.

Dalam kenyataan DAWN, dia menafikan sekerasnya bahawa komen itu datang daripada dirinya. Bahkan, dia sangat bersyukur dan menghargai tempoh perhubungannya dengan HyunA.

"Saya tak nak cakap panjang tetapi hantaran terbabit bukan ditulis oleh saya. Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap individu pengecut, hina, dan menyedihkan itu yang sebar fitnah.

"Meskipun kami sudah berpisah, HyunA sangat bermakna buat saya, paling telus, dan meyenangkan pernah saya jumpa. Dia adalah artis yang saya sentiasa akan sayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 6:50 AM