DATUK Fazley Yaakob. FOTO Zulfadhli Zulkifli
DATUK Fazley Yaakob. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Norhayati Nordin


CEF selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob, 42, mengingat masyarakat di negara ini supaya tidak keluar rumah dan sentiasa membasuh tangan.

Fazley yang kini berada di negara jiran, Singapura kerana urusan kerja berkongsi pesanan itu menerusi video berdurasi satu minit dan 30 saat di Instagramnya.

“Kepada anda yang duduk di rumah, pastikan basuh tangan. Kalau anda ada tetamu sekali pun, pastikan mereka basuh tangan dan bersihkan semua yang perlu. Kalau tak perlu keluar rumah, jangan keluar,” katanya.

Beliau juga meminta masa kuarantin di rumah bersama keluarga ketika ini digunakan sebaik mungkin untuk mengeratkan lagi kasih sayang.

“Ambil masa ini untuk bersama keluarga tercinta. Jika muat naik status dan gambar di media sosial, buat perkongsian yang baik-baik saja.

“Tak usah buruk sangka dan mencari salah. Kita semua sekarang harus bersatu bersama-sama menangani permasalahan ini ,” katanya.

Selain pesanan itu, Fazley turut menitipkan ucapan terima kasih kepada pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan yang menjadi barisan hadapan bertugas demi negara tercinta.

“Kepada semua pegawai perubatan dan barisan hadapan di bahagian perubatan, anda adalah hero kami. Terima kasih banyak,” katanya.

Dalam video itu, Fazley turut berkongsi perasaan rindu terhadap keluarga dan anak-anaknya terutama Alayna Selma yang kita berusia tiga tahun.

Fazley mendirkan rumah tangga dengan Datin Azrene Ahmad pada 2007 dan dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Ahmad Fariedz Shah atau Payish, 12, Ahmad Fieradz Shah (Piyash), 11, dan Ahmad Firudz Shah (Piyush), 9.

Meskipun sedih kerana perlu berpisah lama dengan keluarga, Fazley berkata ia adalah pilihan terbaik kerana ada tanggungjawab kerja yang belum selesai.

Ujarnya, sepanjang berada di SIngapura, beliau tidak berkunjung ke tempat umum yang ramai orang termasuk bersalaman dengan sesiapa.

Sehubungan itu, bermula hari ini sehingga 31 Mac depan, kerajaan Malaysia kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi tujuan pencegahan dan mengekang penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 2:23 PM