DAYANG Areeda
DAYANG Areeda
Ramlah Zainal

Barang kali ramai yang masih asing dengan nama pelakon muda berbakat besar bernama Dayang Areeda ini.

Hakikatnya, pelakon kelahiran Kudat, Sabah ini sudah tiga tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Malah, Dayang Areeda juga sudah berlakon watak pembantu dalam puluhan drama termasuk filem sebelum ini.

Antara lakonannya ialah telefilem GF Aku Amnesia, Playboy Kantoi, Sepatu Tinggi Medina, Anda Telah Di Prank!, Abang Sadoku Kekwat, Sha & Shah Raya, PA Encik Monster, Semusim Rindu dan Ku Redha.

Tidak ketinggalan, drama bersiri seperti Pembancuh Kopi Mr Vampire, Si Kolot Suamiku dan Sha & Shah.

Terbaru, Dayang Areeda, 24, mencuri perhatian peminat dalam drama Kekasih Paksa Rela yang bersiaran di Slot Akasia TV3.

Dalam drama bersiri ini, Dayang Areeda bergandingan dengan Remy Ishak, Intan Najuwa, Ain Edruce, Fizz Fairuz dan Emelda Rosmila.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Dayang Areeda Datu Abdul Razak juga bersyukur kerana lakonannya dalam drama bersiri itu mendapat perhatian ramai.

“Alhamdulilah, selepas sekian lama, akhirnya bakat lakonan mula membuka mata ramai.

“Saya juga berharap dikenali peminat menerusi watak dalam lakonan sebelum ini.

“Watak Shiqin agak mencabar kerana kali pertama saya melakonkan watak antagonis dalam drama.

“Saya perlu berdialog dengan betul ketika babak marah dan bermain dengan ekspresi muka untuk menjiwai karakter Shiqin seperti dikehendaki skripnya,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Remy pula, kata Dayang Areeda, pada mulanya dia berasa gementar berlakon dengan pelakon hebat itu.

“Remy juga tidak lokek ilmu dan dia banyak membantu saya menjiwai watak Shiqin dengan baik.

“Saya juga tidak kisah dibenci penonton menerusi watak dalam lakonan.

“Pada masa sama, saya juga tidak ada masalah bekerja dengan pengarah, Idora kerana pernah bekerja dengannya sebelum ini,” katanya.

DAYANG Areeda
DAYANG Areeda

Impi watak lasak

Sebagai pelakon, Dayang Areeda yang mengagumi pelakon hebat Nabila Huda juga berhasrat mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

“Saya berlakon kerana minat dan merancang kembangkan bakat lakonan sedia ada.

“Saya juga impi untuk berlakon dalam cerita aksi dan lasak sekali gus mencabar tahap lakonan,” katanya.

Terbaru, kata Dayang Areeda, dia terbabit dalam drama Oh My Prince terbitan A.Aida Production.

“Ia kali pertama saya melakonkan watak utama dalam drama.

“Selain itu, saya juga berlakon watak utama dalam telefilem Bakal Suami Akan Datang di saluran Hyptv dan Telefilem Tiket Cinta,” katanya.

Ditanya projek filem pula, kata Dayang Areeda, dia masih menanti tawaran yang sesuai lagi.

“Saya pernah berlakon watak pembantu dalam dua filem iaitu Kolestrol VS Cinta dan Volkswagen Kuning sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:39 AM