Lakonan Remy dan Intan dalam Kekasih Paksa Rela memikat penonton. FOTO  Akasia
Lakonan Remy dan Intan dalam Kekasih Paksa Rela memikat penonton. FOTO Akasia
Sudirman Mohd Tahir


DRAMA Kekasih Paksa Rela menampilkan Remy Ishak dan Intan Najuwa sebagai watak utama ditayangkan di slot Akasia TV3 mencatat jumlah tontonan 11 juta sepanjang 28 episod sejak 26 Disember 2017.

Sementara episod akhir yang bersiaran pada Isnin lalu dari jam 7 sehingga 8 malam mencecah 3.8 juta penonton berdasarkan sumber Nielsen Audience Measurement.

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, slot Akasia sekali lagi mempertahankan kedudukan sebagai slot drama yang paling ramai penonton.

"Kami bersyukur kerana drama kami terus mendapat sokongan padu daripada peminat. Sekali lagi, slot Akasia dapat mempertahankan rekodnya sebagai slot drama yang ditonton ramai.

"Malah menerusi tandapagar #kekasihpaksarela yang digunakan sepanjang drama bersiaran menjadi sohor hampir setiap episod di laman sosial.

"Jadi, saya berharap masyarakat khususnya peminat drama Melayu teruskan menyokong karya hebat tempatan terutamanya dengan menonton drama terbaru di slot ini," katanya.

Sementara itu, Remy yang melakonkan watak Adham atau pakcik tidak menjangka watak itu mendapat sambutan penonton.

"Alhamdulillah, watak pakcik adalah batu loncatan dalam lakonan kerana sudah lama tidak buat projek drama bersiri untuk TV3.

"Saya juga tidak menaruh harapan tinggi berlakon dengan pelakon baru seperti Intan kerana mereka tiada asas lakonan dan bukan penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan.

"Memang ada sedikit kesukaran bila berlakon dengan Intan dalam drama itu. Saya memang tidak mengajar pelakon baru di lokasi kerana masih anggap diri dalam proses pembelajaran," katanya.

Selain Remy dan Intan, drama itu turut dijayakan oleh Ain Edruce, Afzan Rahman, Dayang Areeda, Nynaa Harizal, Jalaludin Hassan, Emelda Rosemila, Fizz Fairuz, Aman Graseka, Khaty Azian, Hazman Al-idrus, Azhar Amir dan Fatin Afeefa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 5:17 PM