IZZUE Islam.
IZZUE Islam.
Michelle Gun


Pelakon dan penyanyi Izzue Islam mendedahkan pernah dimarahi peminat tegar drama bersiri Patahnya Sebelah Sayap yang berang dengan karakter lakonannya.

Menurut anggota kumpulan Forteen itu, dia didatangi seorang lelaki ketika menghadiri sebuah acara baru-baru ini.

“Tiba-tiba lelaki itu datang dan memarahi saya. Dia kemudian menasihati saya supaya tidak menjadi jahat seperti dalam drama itu,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak filem Pailang JB, baru-baru ini.

Dalam Patahnya Sebelah Sayap, Izzue membawa watak antagonis bernama Amzar.

Kejadian seumpama itu bukan yang pertama dilalui Izzue malah pelakon terbabit juga pernah dimarahi seorang wanita ketika melawat Singapura.

“Begitu juga di media sosial, macam-macam komen negatif dilemparkan netizen. Ini kerana pada mulanya penonton suka Amzar, namun bertukar benci selepas dia menjadi jahat.

“Bukan itu saja, saya juga menyedari jumlah pengikut di Instagram berkurangan,” katanya.

Pun begitu, pelakon itu gembira kerana maklum balas terbabit menandakan lakonannya menjadi.

“Kalau boleh, saya mahu menampilkan kelainan dalam setiap watak yang dijayakan agar dapat meninggalkan kesan terhadap penonton,” katanya.

Mengenai lakonannya dalam Pailang JB, Izzue membawa watak Faizal yang suka lumba kereta.

“Ini filem ke-15 saya. Antara sebab saya menerima tawaran ini adalah kerana naskhahnya yang ada kelainan. Lagipun, ini kali pertama saya bawa watak sebegini,” katanya.

Menurut Izzue, sebagai persiapan dia akan memasuki kelas seni mempertahankan diri sebelum penggambaran bermula di Johor Bahru, bulan depan.

Filem pertama terbitan Simpang 3 Production itu akan diarahkan Ryzal Yusoff dan turut dibintangi Adam Corrie serta penyanyi Mark Adam.

Berkongsi perkembangan terbaru karier nyanyiannya pula, Izzue berkata, kumpulan Forteen bakal memperkenalkan single baru.

“Walaupun sibuk berlakon, saya masih aktif membuat persembahan bersama Forteen.

“Saya dapat membahagikan masa antara lakonan dan nyanyian. Pada masa sama, saya juga bakal mengeluarkan single solo ketiga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 2:44 AM