KOS menjalankan perniagaan semakin meningkat terutama dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
KOS menjalankan perniagaan semakin meningkat terutama dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi.

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memulakan pendigitalan dan automasi bagi meningkatkan produktiviti dan menangani kenaikan kos, kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng.

Beliau berkata, kos menjalankan perniagaan semakin meningkat terutamanya dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan satu-satunya cara untuk menangani cabaran ini ialah dengan mengurangkan kos tenaga kerja.

"Kemungkinan kenaikan gaji minimum dan rasionalisasi subsidi diesel secara berfasa akan memberi kesan ketara kepada PKS," katanya.

Justeru, beliau menggesa PKS untuk terus mendigital dan mengautomasikan operasi mereka bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja tempatan dan juga asing.

"Masa (terbaik) untuk berbuat demikian ialah dalam tempoh dua tahun lepas namun masih belum terlambat," katanya.

Dalam tempoh empat bulan pertama 2024, Ng berkata, PKS terus berdepan cabaran selepas mengalami kesukaran pada 2023, terutama yang terbabit dalam sektor pembuatan dan eksport berikutan permintaan lemah global.

Katanya, PKS terjejas akibat daripada penurunan nilai ringgit dan kenaikan kos tanpa henti.

"Malahan sebenarnya banyak juga PKS, yang terpaksa menolak pesanan baharu, kerana mereka tidak pasti sama ada mereka akan mendapat keuntungan, memandangkan kenaikan kos dan prestasi mata wang yang tidak menentu.

"Pada masa yang sama, dengan permintaan domestik yang lemah, mereka yang menjalankan perniagaan di dalam negara tidak dapat melepaskan kos tambahan sepenuhnya kepada pengguna, menyebabkan pengecilan margin yang ketara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:56 AM