GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berharap kerajaan dapat membimbing mereka memahami keperluan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan, selain menyediakan geran padanan satu sama satu ESG berjumlah RM2 bilion menerusi Belanjawan 2024.

Presiden Kebangsaan, Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing berkata geran padanan satu sama satu ESG itu penting bagi membolehkan pelaksanaan transformasi ESG.

"Menerusi kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (iESG) yang dilancarkan baru-baru ini, saya berharap kerajaan boleh membantu PKS memahami amalan ESG dengan lebih mendalam.

"Saya juga berharap menerusi belanjawan tahun depan, kerajaan mampu memperuntukkan geran padanan satu sama satu ESG kepada komuniti PKS berjumlah RM2 bilion bagi transformasi ke arah ESG," katanya kepada Bernama.

Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya terus menyalurkan geran berkaitan automasi dan pendigitalan kepada PKS pada kadar faedah rendah iaitu di bawah dua peratus serta meningkatkan pembiayaan untuk Geran Pembangunan Pemasaran (MDG).

Sementara itu, Presiden Kebangsaan, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata Belanjawan 2024 sewajarnya menekankan tiga prinsip teras iaitu memupuk PKS yang berdikari, mempertingkatkan PKS dalam rantaian nilai serta merapatkan jurang pembiayaan bagi PKS yang berdaya saing.

Bagi usaha memupuk PKS yang berdikari, beliau mencadangkan peralihan bantuan PKS daripada geran langsung kepada geran padanan, pinjaman dengan faedah rendah selain jaminan pembiayaan untuk memastikan bantuan kerajaan boleh menjangkau sebanyak mungkin PKS serta menghapuskan 'usahawan geran' dan ketirisan geran.

'Usahawan geran' bermaksud pihak yang pakar dalam memohon geran kerajaan dan menyalahgunakan dana tersebut.

"Kami mencadangkan pendaftaran mandatori bagi semua perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan agensi berkaitan, termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corporation, untuk memastikan bantuan boleh disalurkan berdasarkan data dan kesesuaian serta menghapuskan perantara.

"Kami turut mencadangkan usaha memperkasakan persatuan perdagangan menerusi Belanjawan 2024 dengan menyediakan geran padanan untuk aktiviti persatuan. Ini supaya persatuan dapat menyediakan bimbingan, maklumat perniagaan, pautan kepada program kerajaan dan program pembinaan keupayaan," katanya.

Bagi mempertingkatkan PKS dalam rantaian nilai, Ng berkata terdapat keperluan bagi membina kapasiti dan keupayaan PKS untuk membekalkan syarikat antarabangsa melalui pemadanan perniagaan yang intensif dan program pembinaan kapasiti.

Beliau berharap kerajaan juga boleh menggalakkan PKS melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui geran padanan sehingga RM50,000 untuk aktiviti R&D kolaboratif dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelesenan teknologi dan paten serta pengambilan tenaga kerja pekerja teknikal dan pakar.

"Kerajaan harus menggalakkan PKS menambah baik reka bentuk pembungkusan mereka melalui geran padanan sehingga RM 20,000 untuk reka bentuk bahan pemasaran dan pembungkusan sekali gus menyokong ekonomi kreatif dan gig.

"Kerajaan perlu membantu PKS dalam menggaji pekerja tempatan mahir melalui pembiayaan bersama dengan menaja yuran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mereka daripada kalangan keluarga B40," katanya.

Bagi merapatkan jurang pembiayaan PKS yang berdaya saing, Ng mencadangkan kerajaan menyediakan dana sebanyak RM2 bilion untuk pinjaman faedah rendah dengan had RM1 juta bagi setiap syarikat yang layak.

Dana itu digunakan bagi tujuan peralihan kepada operasi rendah karbon, termasuk pembelian jentera baharu, naik taraf kilang, yuran perundingan, kos latihan dan pensijilan, katanya.

Beliau berkata Samenta turut mencadangkan kerajaan menyediakan jaminan pinjaman sehingga RM10 bilion dengan kos jaminan dihadkan pada 0.5 peratus untuk PKS yang layak bagi tujuan peningkatan operasi dan modal kerja menerusi Belanjawan 2024.

"Kami juga mencadangkan kerajaan memberikan pengurangan cukai sebanyak dua peratus untuk pendapatan boleh cukai RM300,000 pertama bagi membolehkan penjimatan ini dilaburkan semula dalam pembangunan perniagaan," katanya.

Ketika ditanya kepentingan senarai harapan belanjawan itu kepada PKS, Ng berkata cabaran utama PKS ialah mereka terperangkap dalam kitaran nilai rendah, margin rendah.

Berikutan itu, ketika tempoh ekonomi sukar seperti pandemik, banyak PKS terpaksa gulung tikar kerana margin yang rendah.

"Oleh itu, harapan kami adalah kerajaan dapat menangani cabaran ini dengan membantu PKS meningkatkan rantaian nilai dan menjadi lebih berdikari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 3:55 PM