PENGURUS Projek Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias (tengah) diiringi  Dr Bakhtiar Aliff menerima sijil pengiktirafan daripada wakil Malaysia Book of Records selepas berjaya memecahkan rekod bagi perhimpunan sukan kanak-kanak terbesar di negara ini.
PENGURUS Projek Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias (tengah) diiringi Dr Bakhtiar Aliff menerima sijil pengiktirafan daripada wakil Malaysia Book of Records selepas berjaya memecahkan rekod bagi perhimpunan sukan kanak-kanak terbesar di negara ini.
Sri Ayu Kartika Amri

Al KAUTHAR Eduqids (AKE), rangkaian pendidikan awal kanak-kanak memilih mengguna pakai kaedah terbaik untuk menjalankan aktiviti sukan norma baharu dalam menjalankan Hari Sukannya, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah AKE, Datuk Kapten Dr Bakhtiar Aliff Ibrahim berkata, pihaknya menganjurkan AKE Sports Carnival untuk menjalankan aktiviti sukan norma baharu yang bukan lagi 'kaedah lama' di mana berkumpul beramai-ramai di satu tempat sahaja.

Katanya, kaedah norma baharu itu lebih santai dan memerlukan ibu bapa untuk berinteraksi dan meluangkan masa bersama anak-anak mereka sendiri.

"Seperti kita semua maklum, dua tahun lalu dunia dilanda wabak Covid-19 yang begitu memberi kesan kepada kehidupan seharian.

"Kita semua dikuarantin sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP), perkataan #stayathome, #kitajagakita #normabaharu menjadi trending (sohor kini).

"Dalam masa sama kita mungkin terlepas pandang ia memberi kesan sangat ketara kepada proses perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak kita termasuk mengganggu perkembangan emosi, fizikal dan mental kanak-kanak.

"Justeru, pertama sekali, kami memilih tempat yang terbuka iaitu Zoo Negara kerana kita masih dalam proses ke fasa endemik dan tempat itu juga sesuai untuk ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak sambil belajar dan melihat haiwan yang ada di sana.

"Zoo Negara juga mempunyai tempat dan ruang yang sangat luas untuk aktiviti sukaneka yang kami sediakan," katanya.

Menurutnya, tahun ini jumlah penyertaan lebih ramai iaitu lebih 3,000 kanak-kanak dan 6,000 ibu bapa serta 450 tenaga pengajar yang menggabungkan lebih 65 cawangan AKE seluruh Lembah Klang terbabit dalam AKE Sports Carnival.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana sambutan ibu bapa secara keseluruhannya positif dan memberi sokongan penuh kepada pihak AKE menjalankan aktiviti seperti ini.

"Ini juga tahun kedua kami menjalankan program seperti ini yang mana tahun lalu, kami menjalankan konsep yang sama, tetapi tahun ini di lokasi lebih besar.

"AKE merancang meneruskan aktiviti ini dan menjadikan sebagai aktiviti tahunan yang mana kami sangat komited dan fokus seterusnya menyasarkan penyertaan lebih ramai.

"Kami yakin untuk memecahkan lagi Malaysia Book of Records pada tahun yang mendatang kerana akan menggabungkan lebih banyak cawangan AKE di seluruh Malaysia," katanya.

AKE jenama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia mula bertapak di Shah Alam pada 2013 dan kini mempunyai 127 cawangan di Malaysia.

Al Kauthar Eduqids terbuka untuk anak-anak bermula dari umur dua bulan sehingga enam tahun.

Al Kauthar Eduqids Juga mempunyai rangkaian untuk anak-anak berkeperluan khas seperti kelewatan bercakap, kelewatan perkembangan, autisme, Sindrom Kurang Daya Tumpuan Hiperaktif (ADHD), sindrom kelewatan pembangunan global (GDD), disleksia dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 7:10 AM