Yusliza Yakimir Abd Talib

“TENGOKLAH Ahmad tu, selalu dapat nombor satu di kelas. Kamu mesti rajin belajar dan jadi sepertinya, barulah ibu dan ayah sayang pada kamu.”

Membandingkan kemampuan anak orang lain dengan anak sendiri bukanlah perkara baharu dalam kalangan ibu bapa di negara ini bahkan budaya ‘berlumba’ anak siapa paling cerdik atau hebat di sekolah juga seakan menjadi trend.

Sudahlah begitu, keputusan peperiksaan utama turut menjadi medan buat ibu bapa ‘menayang’ kehebatan dan pencapaian cemerlang anak masing-masing di media sosial.

Bagaimana pula anak yang kurang cemerlang? Malangnya, tidak ramai ibu bapa yang mahu menerima hakikat bahawa karakter dan kemampuan setiap orang itu berbeza.

Tidak kurang juga menjadikan pencapaian akademik sebagai ukuran kejayaan anak-anak sedangkan hakikatnya pelbagai cabang ilmu dan kemahiran jika diasah mampu menjadikan anak anda insan cemerlang dalam bidang diceburinya.

Mentaliti ‘cetek’ sesetengah ibu bapa inilah yang menimbulkan banyak kekacauan. Jadi, tidak hairanlah, pada zaman yang semakin kompetitif ini, kanak-kanak sering berhadapan dengan harapan ibu bapa yang begitu tinggi, baik di rumah mahupun di sekolah.

Namun begitu, meletakkan harapan yang tidak realistik boleh meninggalkan kesan negatif terhadap perkembangan kanak-kanak.

Justeru, keseimbangan dalam memupuk ciri-ciri luar biasa dalam kanak-kanak adalah penting. Pakar bersetuju bahawa pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian adalah langkah pertama ke arah mencapai matlamat ini.

Dalam usaha memperkasakan ibu bapa dalam memupuk potensi luar biasa anak-anak mereka, MILO baru-baru ini menganjurkan forum ‘Raising Extraordinary Champions’, yang berkongsi kemahiran keibubapaan untuk mengatasi cabaran membesarkan kanak-kanak secara luar biasa.

Acara ini menyatukan pakar, guru, ibu bapa dan anak mereka. Forum ini memberikan tumpuan khas kepada kemahiran untuk menguruskan harapan ibu bapa.

‘Luar biasa’ kini sudah menggantikan ‘terbaik’ sebagai norma baharu. Perubahan ini pula membawa kepada tanggungjawab ibu bapa untuk mencapai keseimbangan dalam memberikan inspirasi yang luar biasa.

Menurut Pakar Psikologi Perkembangan Kanak-kanak Elaine Yong, komunikasi terbuka adalah antara amalan terbaik menguruskan harapan ibu bapa.

Dalam memupuk ciri luar biasa dalam anak-anak, beliau menegaskan kepentingan menyediakan peluang untuk mencuba perkara baharu.

ANTARA ibubapa dan anak-anak yang menyertai forum Raising Extraordinary Champions. FOTO Salhani Ibrahim
ANTARA ibubapa dan anak-anak yang menyertai forum Raising Extraordinary Champions. FOTO Salhani Ibrahim

“Ia membabitkan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak, serta komunikasi sesama kedua-dua ibu bapa. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang gaya keibubapaan mereka ketara berbeza, komunikasi terbuka harus diamalkan supaya dapat mencapai kesepakatan.

“Oleh sebab ciri-ciri ‘luar biasa’ itu berbeza-beza dalam kalangan ibu bapa, apa yang harus digalakkan dan diraikan bukanlah keputusan yang cemerlang tetapi usaha serta keberanian untuk mencuba perkara baharu,” katanya.

Perunding Pemakanan, Indra Balaratnam pula berkata, menyediakan pemakanan yang seimbang untuk anak-anak adalah asas membesarkan juara yang luar biasa.

Katanya, antara amalan makan sihat adalah dengan memastikan keseimbangan, kepelbagaian dan kesederhanaan dalam pilihan makanan.

“Jadikan Pinggan Sihat Malaysia berdasarkan konsep suku-suku-separuh sebagai panduan. Kekurangan nutrien dalam kalangan kanak-kanak adalah satu perkara yang membimbangkan serta perlu diberi tumpuan oleh ibu bapa.

“Ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak untuk kekal aktif menerusi aktiviti sukan luar kerana ia bukan saja dapat membantu dari segi kecergasan fizikal malah meningkatkan keupayaan badan menghasilkan vitamin D melalui pendedahan kepada cahaya matahari,” katanya.

Menurutnya, ramai ibu bapa yang tidak sedar bahawa satu daripada dua kanak-kanak di Malaysia mengalami kekurangan kalsium dan vitamin D2.

Katanya, kalsium amat penting untuk mengekalkan tulang dan gigi yang kuat, manakala vitamin D menyokong penyerapan kalsium dan fosforus.

Kedua-dua nutrien ini penting untuk kesihatan tulang dan gigi. Ia juga adalah sumber protein yang baik, penting untuk tumbesaran serta pembinaan tisu dalam badan seperti tulang, otot dan organ.

“Adalah lebih baik ibu bapa sediakan bekal makanan untuk anak-anak ke sekolah kerana ia dapat memberikan pilihan makanan yang lebih baik selain memupuk tabiat makan yang sihat di luar rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Pengguna MILO Ready-to-Drink, Nestle (Malaysia) Berhad Angeline Lim berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan pakar dalam usaha meningkatkan pemahaman mengenai keibubapaan yang luar biasa.

Katanya, menerusi pelancaran MILO NUTRI PLUZ, jenama itu ingin membantu ibu bapa menjadi inspirasi yang luar biasa kepada anak-anak mereka.

“Meletakkan pemakanan seimbang sebagai asas membesarkan juara yang luar biasa, kami meneruskan inovasi dalam rangkaian produk minuman ini, selari dengan misi untuk membantu ibu bapa meningkatkan status pemakanan anak-anak. Ini sekali gus memberikan kanak-kanak tenaga untuk melangkah lebih jauh dalam mencapai potensi luar biasa mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 5:53 PM