MUHYIDDIN menyampaikan perutusan khas sempena Hari Pekerja. FOTO Bernama
MUHYIDDIN menyampaikan perutusan khas sempena Hari Pekerja. FOTO Bernama
Hayati Ibrahim


MAJIKAN digalakkan memberi kelonggaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah atau secara berselang-seli, bagi membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini norma baharu yang mesti diamalkan majikan, dan perkara itu boleh dibincang dengan pekerja dengan baik.

"Mana-mana tugas yang boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik. Mungkin boleh susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah.

"Walaupun pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan Prosedur Standard Operasi (SOP) kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka.

"Jadi, kalau boleh majikan memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli.

"Hari ini isteri bekerja dari rumah, suami bekerja di pejabat. Esok suami bekerja dari rumah, isteri bekerja di pejabat. Jadi anak tak perlu dihantar ke pusat jagaan," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja 2020, hari ini.

Muhyiddin berkata, hanya ibu bapa yang tiada pilihan sahaja yang perlu menghantar anak-anak ke pusat jagaan.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan, sekaligus memudahkan penjaga mengurus anak-anak ini mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.

"Jadi, saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja secara selang seli atau dari rumah," katanya.

Berita berkaitan:

  • Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas ini
  • Aktiviti ekonomi dibuka mulai 4 Mei
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 1:07 PM