Asmah Abdullah. - FOTO FAMA
Asmah Abdullah. - FOTO FAMA
Muhamad Shaifullah Tayep

MEMASAK atau menyediakan makanan sememangnya lebih mudah dengan bantuan rencah sedia untuk dimasak atau bahan sejuk beku.

Bagaimanapun, sebagai pengusahanya, ia sedikit mencabar untuk menyediakan stok dan memenuhi permintaan ketika tempoh pandemik kerana harga bahan mentah semakin tinggi tetapi jumlah jualan menurun.

Pemilik syarikat VIASFOOD SDN BHD, Asmah Abdullah, 50, mengakui beliau terpaksa menghentikan pengeluaran ketika menghadapi krisis kejatuhan semangat pekerja apabila mengalami kekangan modal pusingan yang terhad.

"Namun, saya tanamkan azam dalam diri untuk tidak berhenti dan merasa rendah diri untuk terus mempromosi serta belajar ilmu baharu bagi membangunkan perniagaan," katanya.

Asmah yang mempromosikan rencah kulinari dan kondimen tanpa pengawet, pewarna dan perasa tambahan di bawah jenama VIAS pernah hampir putus asa namun menemui jalan keluar sehingga mampu memasarkan produk di luar negara.

Katanya, keunikan slogan "Made in Malaysia", selain menghasilkan produk dalam pek mudah dibawa dan mampu bertahan selama dua tahun menjadikan ia mudah diterima masyarakat di luar negara.

"Saya percaya, hubungan erat dan kepercayaan bakal pembeli adalah perkara utama untuk merealisasikan jualan dan keberjayaan produk serta jenama dalam menembusi pasaran dunia," katanya.

Tidak hairanlah, usahawan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Antarabangsa dan Pentadbiran Perniagaan dari University of Denver Colorado, USA ini pernah diberi pengiktirafan antara Outstanding Exporters Achievement Awards oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada tahun 2015.

Asmah berkongsi, sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menyediakan premis yang bertepatan dengan kehendak pasaran serta memberi peluang pemasaran yang amat membantu dalam memasarkan produk pertanian dari luar bandar.

ImageHasanah Shariff. - FOTO FAMA

Bagi pemilik syarikat Ana Saji Resources, Hasanah Shariff, 50, beliau turut merasai cabaran berniaga ketika pandemik apabila terpaksa berhenti akibat pendapat merosot, seterusnya tidak dapat membayar sewa kedai, utiliti dan meninggalkan hanya dua orang pekerja untuk membantunya menyiapkan pesanan.

Namun, beliau tidak mengalah dan menganggap ia satu cabaran untuk membuktikan ada jalan dalam setiap kesukaran sekiranya berusaha bersungguh-sungguh.

"Sebagai pengusaha kecil dan sederhana (PKS), kita perlu sentiasa mencari perubahan dan menambah baik cara pengurusan demi kemajuan dan meningkatkan perniagaan.

"Selain itu, minta nasihat daripada pihak agensi atau pegawai jabatan FAMA, Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, FAMA banyak memberikan tempat dan peluang untuk mempromosikan produk seperti di Pasar Tani, di samping bantuan kewangan, pembungkusan plastik dan peralatan kilang.

Bantuan agensi seperti FAMA banyak membantu Hasanah untuk membeli mesin, menghantar kuih ke dewan asrama penuh sekitar Kuantan dan memasuki pasar raya.

Malahan, FAMA juga membantu produk Ana Saji merangkul beberapa anugerah seperti Pertandingan Hasil Tani di Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Pertandingan hari Peladang Penternak, Nelayan di Kuantan, Pahang dan menerima Buku Kejayaan Usahawan Industri Tani 2018 selain menembusi pasaran Singapura sejak tahun 2017.

Suri rumah dan ibu kepada lima orang cahaya mata ini menjual kuih-muih sejuk beku di bawah jenama Ana Saji yang asalnya hanya dihidang untuk anak, suami dan jiran tetangga.

Namun, selepas mendapat tempahan dari jiran dan kedai makan, lama-kelamaan ia bertukar kerjaya kerana memperoleh pendapatan yang banyak selain dapat membantu suami serta poket sendiri.

"Pada tahun 2011 saya mula menyewa kedai dan mengikuti kursus bersama agensi, seterusnya mendapat sijil HALAL pada tahun 2014.

"Kini, Ana Saji mempunyai 125 jenis kuih tradisional sejuk-beku halal yang sudah diinovasikan seperti kuih bakar durian, pandan, jagung; sepusar daging, sepusar cendawan, kuih koci, getok ubi, karipap daging, murtabak opor, murtabak opor cendawan dan banyak lagi," katanya.

Layari laman web Vias atau Ana Saji untuk maklumat lanjut mengenai produk terbaru mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 12:37 PM