AZMI menunjukkan antara produk yang dikeluarkan.
AZMI menunjukkan antara produk yang dikeluarkan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Puchong

The Holstein Milk Company Sdn Bhd meletakkan sasaran jualan RM50 juta bagi tahun kewangannya berakhir Mac 2015 berbanding RM38 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Pengarah Operasinya, Azmi Zainal yakin pihaknya dapat mencapai jumlah itu terutama dengan peningkatan permintaan bagi produk susu segar jenama Farm Fresh di pasaran tempatan.

Katanya, walaupun 95 peratus produk tenusu di negara ini dikuasai jenama asing terkenal, pihaknya komited untuk menjadi pemain utama dalam industri ini biarpun bermula dari bawah.

"Hampir lima tahun di pasaran, kini jenama Farm Fresh sudah berada sebaris dengan jenama terkenal dari luar negara dan boleh didapati di semua pasar raya besar seluruh Malaysia.

"Kami mengeluarkan lebih kurang 20 produk berasaskan tenusu termasuk yang terbaru, Caffe Latte dan kami juga akan memperkenalkan produk keju tidak lama lagi," katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat amat menjaga kualiti dan kesegaran susu bermula dari pemilihan baka lembu terbaik, kebersihan ladang serta lembu sehingga pemprosesan tanpa menggunakan bahan pengawet dan pewarna.

Azmi berkata, pihaknya juga akan menambah kapasiti pengeluaran daripada 20 tan sehari kepada 35 tan bermula tahun depan.

Beliau berkata, Khazanah Nasional Bhd turut mempunyai kepentingan dalam syarikat itu sebanyak 30 peratus dan dengan suntikan modal itu, pihaknya mengorak langkah mengembangkan pasaran tenusu tempatan.

"Syarikat juga dilantik oleh Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sebagai pengurus ladang ternakan lembu seluas 240 hektar di Muadzam Shah, Pahang dan telah melahirkan 10 usahawan menerusi projek ini.

"Kami akan mempelbagaikan lagi produk syarikat termasuk terbaru keju pertama yang mendapat sijil halal daripada Jakim dan kami mahu masyarakat mencuba sendiri perbezaan produk tenusu Farm Fresh dengan jenama lain dari segi kesegaran susu dan kualitinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:10 AM