MALINA Waida (duduk) dan Fisah menunjukkan nasi bajet RM5 bungkuihbydalam yang diusahakan.
MALINA Waida (duduk) dan Fisah menunjukkan nasi bajet RM5 bungkuihbydalam yang diusahakan.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencetuskan idea bagi memulakan perniagaan nasi bajet yang diberi nama bungkuihbydalam.

Malina Waida Ahmad Nadzri berkata, pelaksanaan PKP memberi kesan kepada banyak perkara termasuk sumber pendapatannya.

"Saya juga tidak terkecuali berhadapan cabaran itu apabila aktiviti perniagaan terhenti dan pendapatan terjejas.

"Pada 22 Jun tahun lalu, saya nekad dan sepakat bersama rakan, Fisah Hussin yang berpengalaman dalam bidang masakan, memulakan perniagaan menjual nasi bajet.

"Selain itu, kami turut mengusahakan produk makanan sejuk beku seperti pau sambal, karipap dan pelbagai kuih tradisional, yang dibuat pada Sabtu dan Ahad.

"Pada mulanya nasi bajet ini hanya laku sekitar 30 bungkus sehari, namun bertambah dan sehingga kini mencecah lebih 100 bungkus sehari," katanya.

Menurutnya, bungkusan nasi bajet yang mengandungi ayam goreng berempah, kuah dan sambal cili api itu adalah resepi tersendiri.

"Walaupun harga bahan mentah sedikit naik kebelakangan ini, namun kami tetap mengekalkan harga RM5 kerana ingin meneruskan konsep berniaga sambil bersedekah.

"Untung sedikit bukan isu, apa yang penting rezeki yang berkat dan dapat berkongsi dengan orang lain," katanya.

Katanya, selain pembeli dari sekitar Seremban dan Seremban 2, tempahan turut diterima dari luar kawasan dengan penghantaran dibuat dua penghantar makanan sementara.

"Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pengguna dalam kawasan sekitar 10 kilometer.

"Saya tidak meletakkan sasaran pelanggan, sebaliknya konsep nasi bajet ini untuk dinikmati sesiapa saja tanpa mengira latar belakang dan status sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:15 AM