Mohd Hafiz Azwan Mohd Azlan menghantar makanan. FOTO HASSAN OMAR
Mohd Hafiz Azwan Mohd Azlan menghantar makanan. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Dia pernah ditawarkan cincin emas pernikahan oleh seorang wanita semata-mata kerana tiada wang untuk membayar makanan tetapi ditolaknya secara baik.

Dia juga pernah dijanjikan bayaran atas makanan diserahkan tetapi tiada sesen pun diterima malah dia pernah menyaksikan anak kecil menangis kelaparan sedangkan si ibu yang memesan makanan tidak memiliki wang.

Segala kepahitan hidup masyarakat kesan pandemik Covid-19 itu disaksikan peniaga katering, Mohd Hafiz Azwan Mohd Azlan, 35, sepanjang kerjayanya menghasilkan makanan dan menghantarnya kepada pelanggan melalui konsep 'bayar semasa tiba' (COD).

"Saya tidak sampai hati mengambil semula makanan yang sudah diserahkan kepada pelanggan apabila mereka memberitahu tiada wang untuk membayarnya.

"Saya katakan kepada mereka, makanlah, Allah SWT mahu saya bersedekah dan saya menghalalkannya menjadi darah daging awak," katanya selepas menghantar makanan kepada keluarga menjalani kuarantin kendiri di kediaman di Taman Gamelan, Kuala Sungai Baru, di sini, tadi.

Meskipun tidak memperoleh pulangan, Mohd Hafiz yang dikenali dalam kalangan pelanggan COD di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah sebagai 'Abang Aji Runner MT' tidak pernah menyesal, sebaliknya berasa bertuah kerana berpeluang menghulurkan bantuan kepada insan amat memerlukan makanan.

Katanya, akibat tertekan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Jun lalu, seorang ibu tujuh anak kecil yang memesan tujuh bungkus nasi tidak mampu membayar makanan ditempah.

"Sambil mengalirkan air mata, wanita itu memberitahu suaminya sudah lama meninggalkan mereka. Malah tujuh anaknya yang masih kecil sudah dua hari tidak menjamah nasi. Mereka hanya memakan nanas yang ditanam di belakang rumah," katanya.

Mohd Hafiz yang turut melakukan tugas sampingan sebagai mutawif, iaitu mengendalikan urusan jemaah melakukan ibadah haji dan umrah sebelum pandemik Covid-19, tidak pernah kecewa dengan perniagaan

yang menuntut kesabaran tinggi itu.

Dia yakin pelanggan terbabit bukan sengaja tidak mahu membuat pembayaran, sebaliknya keadaan memaksa mereka untuk memesan makanan semata-mata untuk mengisi perut yang seharian tidak diisi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 3:49 PM