OPIE (kiri) bersama rakannya yang mengusahakan perniagaan nasi Arab. FOTO Mohd Khidir Zakaria
OPIE (kiri) bersama rakannya yang mengusahakan perniagaan nasi Arab. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Khidmat penghantaran makanan biasanya menggunakan motosikal tetapi tiga anak muda ini menggunakan kereta mewah sebagai tarikan pelanggannya.

Demi meneruskan kelangsungan hidup akibat tidak dapat meneruskan perniagaan syarikat agensi pelancongan umrah dan haji, mereka mencuba bidang lain dalam tempoh pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tiga anak muda ini sepakat memulakan perniagaan menggunakan penghantaran nasi Arab dengan Mercedes AMG selepas syarikat mereka tidak beroperasi sejak pertengahan Mac lalu akibat wabak Covid-19.

Ahmad Sofiyuddin Md Hashim, 34, atau lebih dikenali dengan panggilan Opie berkata, mereka mula menceburi bidang penghantaran makanan itu selepas tidak boleh meneruskan syarikat agensi pelancongan sejak Mac lalu.

"Kami mengadakan perbincangan bersama semua kakitangan dan membuat kelainan untuk menjual nasi Arab bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang PKPB ini.

"Alhamdulillah, kami memulakan perniagaan menjual nasi Arab sejak Ramadan lalu dan membuat servis penghantaran di sekitar Negeri Sembilan, Melaka serta Lembah Klang ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan," katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, bagi mencipta sedikit kelainan, mereka menggunakan Mercedes AMG untuk menghantar nasi Arab kepada pelanggan terutama di kawasan jauh.

"Walaupun kos tidak berbaloi untuk servis penghantaran namun kami tidak memikirkan mengenai kerugian sebaliknya kami melihat ini satu cara kami memikat hati pelanggan.

"Selain memastikan nasi Arab ini berkualiti dan sedap, kami juga menjual perkhidmatan penghantaran dengan menaiki kereta mewah sebagai satu 'trade mark' perniagaan kami," katanya.

Opie berkata, mereka sememangnya mempunyai komitmen tinggi terutama melangsaikan bayaran pinjaman rumah dan kereta menyebabkan tekad keluar mencari rezeki dengan menjual nasi Arab. "Kebetulan kereta pun lama parkir di rumah, tak jalan mana, bulan-bulan nak kena bayar, kami cari satu jalan yang boleh mendatangkan pendapatan sementara untuk tanggung komitmen kami ini," katanya.

Menurutnya, paling jauh dia pernah hantar nasi Arab ke Klang dan Melaka malah pernah sejauh 300 kilometer untuk penghantaran saja.

Dengan kos penghantaran serendah RM6 hingga RM35, mereka menganggap perniagaan itu satu idea permulaan membuka sebuah kedai Nasi Arab di Seremban dalam masa terdekat.

Rakannya yang juga tukang masak, Mohd Faizal Tajuddin, 35, berkata, dia menggunakan kepakarannya memasak sejak belajar di madrasah.

"Saya memang sudah biasa memasak kerana emak berniaga sarapan pagi dan minat itu timbul apabila melihat emak memasak disamping kerap membantunya di dapur.

"Sebelum ini, semasa menjalankan perniagaan agensi pelancongan saya juga sudah biasa memasak namun tidak sangka idea berniaga atas talian nasi Arab ini menerima sambutan baik daripada pelanggan.

"Saya pun tak sangka, kami menerima tempahan sehingga 150 bungkus atau lebih kurang 18 hingga 20 kilogram nasi Arab," katanya.

Katanya, sambal nasi Arab diproses agak pedas bagi memastikan kelainan dan kena dengan selera orang Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 6:09 PM