PERSEDIAAN sebelum menghantar makanan ke lokasi.
PERSEDIAAN sebelum menghantar makanan ke lokasi.
PULUT mangga.
PULUT mangga.
BEGEDIL dimakan bersama nasi ambeng.
BEGEDIL dimakan bersama nasi ambeng.
NURUL Aien (kiri) bersama ibunya menyediakan makanan.
NURUL Aien (kiri) bersama ibunya menyediakan makanan.
Teks dan gambar Ainal Marhato n Abd Ghani

“Kita biasa dengan ungkapan sembilan daripada 10 punca rezeki boleh dikecapi menerusi perniagaan. Berniagalah apa saja selagi ia memberi rezeki yang halal dan diberkati.

“Apa yang penting, jangan mencari musuh dan mempunyai perasaan hasad dengki atau iri hati kerana itulah yang akan membantutkan usaha kita untuk terus memajukan diri dan bersaing dalam dunia niaga yang kita ceburi,” kata Nurul Aien Abu Bakar memulakan bicara mengenai bidang perniagaannya yang baru diceburinya lewat lima bulan lalu.

Menurutnya, bukan mudah memulakan perniagaan serupa dengan orang lain sehingga dirasakan perlu mencari satu alternatif mempersembahkan produk yang belum pernah menjadi sajian ‘pencuci mata’ di laman sosial Facebook.

Tanpa sebarang pengalaman berniaga secara dalam talian, Nurul Aien yang menjangkau usia 29 tahun ini tetap ingin mencuba kerana baginya, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

“Ibu dan ayah (Marbiyah Mydin, 63, dan Abu Bakar Jaafar, 61) bersetuju dengan hasrat saya. Ibu adalah tukang masak terbaik untuk keluarga dan sudah pasti saya meminta bantuannya untuk menyediakan resipi masakan yang bakal menemui pelanggan menerusi sistem penghantaran makanan yang kami usahakan.

“Kaedah yang kami gunakan ini sama dengan peniaga makanan online yang lain iaitu ‘tempah hari ini, esok dapat’. Tetapi produk utama yang kami bawa berbeza dengan peniaga makanan lain iaitu nasi ambeng Singapura,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permatang Badak Baru, Kuantan, baru-baru ini.

Hasratnya itu juga diajukan kepada pasangan suami isteri, Intan Emy Herliana Subhi, 31, dan Mohd Hanaffie Awaluddin, 31, yang menjadi anak angkat keluarga itu lebih enam tahun lalu.

“Ibu mempunyai pengalaman luas dalam bidang masakan. Kami bermula awal Mac lalu dengan satu jenis menu saja iaitu pulut mangga dan tidak sangka mendapat 2,000 ‘like’ selepas dua hari mempromosikannya di Facebook,” kata­nya teruja memperkenalkan menu turun-temurun keluarganya yang berasal dari Singapura itu.

Nurul Aien berkata, selepas pulut mangga, dia memberanikan diri pula menjual sendiri nasi ambeng Singapura di Pasar Tani Kekal Kuantan untuk melihat sendiri sambutan orang ramai terhadap menu berkenaan.

“Walaupun berjual agak lewat pada hari pertama, saya bersyukur kerana jualan 10 bungkus nasi habis dalam tempoh tidak sampai satu jam walhal pembeli tidak tahu rasa nasi dari seberang tambak Johor itu.

“Cubaan pertama dikira berjaya, seterusnya pelang­gan mula membuat tempahan ulangan menerusi nombor telefon bimbit yang tertera pada pelekat di setiap bungkusan makanan,” katanya.

Menerusi kata-kata ‘aokme order kawan antor’ ter­nyata Tapawteam, nama yang digunakan untuk perkhidmatan itu mula dikenali di Facebook berjaya menambat selera warga Kuantan dengan menu ditawarkan.

Pada hari pertemuan dengan penulis, Nurul Aien sibuk menyiapkan 50 bungkus nasi ambeng, 60 bungkus pulut durian, 55 bungkusan pulut mangga dan 20 bungkusan roti jala tempahan pelanggan sekitar bandar Indera Mahkota dan Kuantan.

Saat diaju persoalan me­ngenai menu bercitarasakan Singapura yang menjadi pilihan, tanpa ragu Nurul Aien berkata, ia ­hanya satu percubaan untuk melihat penerimaan masyarakat Kuantan terhadap sajian dari negara seberang tambak itu.

“Kebanyakan kita lebih mengenali makanan Thai dan Indonesia, tetapi tidak Singapura justeru, tiba giliran kami sekeluarga memperkenalkan sajian ini walaupun hanya dalam bentuk penghantaran terus.

“Konsep diperkenalkan Tapawteam itu selari dengan faktor kekangan masa juga menjimatkan masa pelanggan dan kos minyak kenderaan.

“Kami menyediakan menu pilihan sama ada untuk sarapan, makan tengah hari mahupun minum petang dan penghantaran pula meliputi kawasan Kuantan, Gambang serta Indera Mah­kota,” katanya.

Ketika ini Tapawteam menyediakan menu nasi ambeng Singapura yang dijual pada harga (RM7.50), nasi paprik ayam (RM5.50), roti jala (RM6), pulut

mang­ga (RM5.50) dan pulut durian (RM8).

“Kami juga bercadang memperkenalkan soto ­Singapura, nasi dagang ­Singapura, masakan Barat serta pelbagai kuih-muih tradisional yang mempunyai cita rasa Singapura apabila kami mempu­nyai pembantu dari segi penghantaran.

“Ketika ini hanya abang saja yang membuat penghantaran menggunakan sebuah kenderaan dan sudah pasti agak terhad untuk menerima tempahan dalam jumlah yang besar,” katanya yang menyediakan akaun Facebook dan Instagram Tapawteam.

Nurui Aien sebenarnya mempunyai karier berbeza sebelum memulakan perniagaan dalam taliannya itu. Dia adalah bekas jururawat di sebuah hospital swasta dan pemegang Diploma Kejururawatan Kolej Universiti Kumpulan Perubatan Johor (KPJ), Nilai, Negeri.

Begitu juga Intan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia manakala Mohd Hanaffe pula pemegang Diploma Mekanikal Pertanian dari Politeknik Seberang Perai.

Intan pula sudah meletak jawatan sebagai jurutera bahagian kawalan mutu di sebuah kilang dan Hanaffe sanggup melepaskan kerjayanya di bidang pengiklanan semata-mata untuk membantu isterinya me­nguruskan tugas mereka.

“Karier kami memang berbeza, tetapi selepas melihat untung bersih per­niagaan ini, kami membuat keputusan untuk sama-sama memajukan bisnes dan tidak pernah menyesal meletak jawatan,” katanya.

Suami Nurul Aien, ang­gota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zaharizal Zainal, 33, tiada ketika temu bual berlangsung kerana bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Sandakan, Sabah.

Sejak kecil sudah didedahkan dengan dunia masakan membuatkan Nurul Aein menjadikannya sebagai sandaran untuk meluaskan perniagaan yang diusahakan bersama ibu dan kakaknya.

Pada Ramadan juga, dia membuat penghantaran makanan bagi memberi pilihan kepada pelanggan bekerja yang tidak perlu bersusah-payah menyediakan juadah berbuka puasa.

Bagi menjamin kualiti makanan, Nurul Aein bersama Marbiyah dan Intan mula masuk dapur seawal jam 2 pagi untuk memasak dan dibiarkan sejuk sebelum dibungkus untuk mengelak cepat basi.

Bagi penghantaran ke rumah, pelanggan mempunyai pilihan untuk memanaskan kembali masakan manakala di pejabat boleh berbuat demikian jika mempunyai ketuhar gelombang mikro.

“Kami perlu bijak menyusun waktu dan lokasi penghantaran untuk mengelak berulang-alik ke tempat yang sama. Penghantaran membabitkan sekitar Kuantan dan Indera Mahkota termasuk Beserah dan Tanjung Lumpur.

“Bagaimanapun, bagi yang ingin membuat tempahan, tetapi menetap jauh seperti di kawasan Pelabuhan Kuantan dan Gambang, tempahan perlu melebihi 20 bungkus untuk mengelak kerugian.

“Bagi kawasan bandar, tiada tempahan minimum dikenakan. Alhamdulillah, setakat ini tiada rungutan tempahan sampai lewat atau basi kerana kami pastikan makanan dibungkus meng­gunakan sistem pembung­kusan yang sistematik dalam bekas plastik lut sinar bersesuaian dengan makanan yang ditempah,” katanya.

Mengenai persaingan, Nurul Aien berkata, memang ramai yang menjalankan perniagaan seperti itu, tetapi lebih fokus kepada satu jenis makanan sama ada nasi campur, nasi ayam, nasi minyak, nasi tomato atau masakan Barat seperti ­burger atau piza serta makanan laut tanpa pencuci mulut.

Pelanggan tidak banyak pilihan justeru, dia mempelbagaikannya dengan roti jala, pulut mangga dan pulut durian selain beberapa masakan lain yang akan dimaklumkan di Facebook dan Instagram untuk kemudahan pelanggan.

Nurul Aein akui, dia sekeluarga mempunyai impian menjadi katerer yang maju dan terkenal bukan saja di Kuantan, tetapi juga di seluruh negara.

“Perjalanan kami masih jauh dan perancangan teliti perlu dilaksanakan bagi menggapai impian itu kerana banyak faktor yang perlu difikirkan terutama dari segi kos pembelian barang masakan, pembungkusan dan minyak kenderaan yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Begitupun ia bukan halangan untuk merealisasikan impian yang tertanam sejak zaman persekolahan lagi selepas melihat ibu bertung­kus-lumus me­nyediakan jualan untuk menampung

kami lima beradik ke sekolah hingga ke universiti,” katanya.

Sementara itu, Marbiyah yang juga anak kelahiran Singapura berkata, nasi ambeng Singapura mempunyai ramuan yang sedikit berbeza dibandingkan dengan nasi ambeng Johor.

“Kami sertakan sekali pilihan ayam masak merah atau masak kicap, serunding kelapa, sambal goreng Singapura dan begedil manakala bahan sambal goreng pula terdiri daripada campuran tauhu, tempe, kacang panjang, udang hidup serta udang kering.

“Bezanya, nasi ambeng Johor mempunyai mi atau bihun goreng selain diletakkan ikan masin atau telur masin,” katanya.

Menurutnya, nasi ambeng popular dalam kala­ngan masyarakat Melayu di Singapura terutama mereka yang berketurunan Jawa dan Bawean. Kebiasaan­nya, jika ada majlis kenduri, perlu dihidang­kan dengan makanan tradisional ini.

“Ambeng sebenarnya merujuk kepada makan beramai-ramai dalam satu dulang (biasanya empat orang) sebagai tanda wujudnya semangat persaudaraan, melahirkan masyarakat yang saling membantu dan bertolak ansur.

“Saya bawakan dimensi baru menerusi sistem penghantaran iaitu nasi ambeng bungkus resipi ­Singapura,” katanya yang boleh dihubungi di talian 019-9272257.

Satu saja persamaan antara nasi ambeng dua negara berjiran ini iaitu hidangannya nasi putih dan

serunding kelapa selain beberapa lauk mengikut selera keluarga.

“Nasi dan lauk-pauk diletakkan di atas talam untuk dimakan bersama-sama,” katanya sambil menambah, setiap satu lauk nasi ambang pesanan pelanggan dibung­kus berasingan untuk menjaga kualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 12:43 PM