PESERTA bersama hasil kreativiti mereka. FOTO fail NSTP
PESERTA bersama hasil kreativiti mereka. FOTO fail NSTP
Aniza Zainudin


TIDAK sempurna disiplin pemakaian busana tradisional Melayu tanpa aksesori hiasan. Jika berbaju Melayu, penampilan si jejaka perlu diiringi tanjak, bengkung, samping dan keris yang mempersembahkan ciri keperkasaan anak muda.

Si perawan pula sentiasa kelihatan manis dan elegan apabila menyarung persalinan kebaya labuh yang mengikut potongan badan, berbelah di bahagian depan diperindahkan lagi dengan sematan kerongsang berangkai bersama pemakaian selendang di kepala.

Melihat keunikan rekaan dan kriteria pemakaian busana tradisional ini cukup membuktikan kehalusan jiwa dan kreativiti generasi nenek moyang dalam menonjolkan persona peribadi ketika berpakaian.

Elemen tradisi memiliki keistimewaan dan sentimen tersendiri, ia bukan sekadar di jiwa anak bangsa bahkan tarikan utama pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia yang ingin membawa pulang ‘sebahagian Malaysia’ ke tanah air masing-masing.

Idea menghasilkan miniatur busana tradisional yang diilhamkan usahawan kraf, Elmi Samanhudi, antara usaha bijak dalam memperjuangkan busana klasik dalam kalangan generasi muda hari ini dan mempromosikan Melayu serta Malaysia dengan cara berbeza.

PERLU ketelitian bagi fabrik. FOTO fail NSTP
PERLU ketelitian bagi fabrik. FOTO fail NSTP

“Inspirasi untuk menghasilkan cenderahati pakaian tradisional tercetus apabila saya melihat idea negara luar seperti Jepun dan Korea Selatan yang memperkenalkan busana klasik, antaranya kimono, yukata serta hanbok sebagai produk pelancongan.

“Malaysia sememangnya terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang berkongsi pelbagai budaya termasuk pakaian. Jadi kita tidak miskin dengan budaya berpakaian yang sangat istimewa dan cantik rekaannya.

“Busana Melayu umpamanya, pemakaiannya turut diiringi dengan padanan sanggul, dokoh, selendang dan batik bagi wanita. Jadi, kita boleh memperkenalkan pakaian kita ke mata dunia menerusi pelancongan.

“Inisiatif ini bermula apabila saya mendapat tempat di Kompleks Kraf Johor pada Mac tahun lalu dengan produk kerongsang.

“Melihatkan rakan lain tampil dengan idea warisan seperti wayang kulit dan produk rotan menerima perhatian daripada pelancong, memberi saya idea untuk menghasilkan miniatur busana tradisional sekali gus membolehkan saya berkongsi cerita mengenai Malaysia kepada pengunjung.

CIPTA kreativiti serta perkenal budaya pakaian warisan. FOTO fail NSTP
CIPTA kreativiti serta perkenal budaya pakaian warisan. FOTO fail NSTP

“Menggunakan bakat seni yang ada, saya turut menyertai pertandingan seni kreatif pada April dan melakukan kajian berkenaan pakaian tradisional di perpustakaan dan Galeri Tenun.

“Menjelang Ogos, saya perlu menghantar karya akhir pertandingan, oleh itu cenderahati miniatur busana tradisional Johor adalah buah tangannya. Selain itu, saya juga terpilih menyertai program interaktif PASAREKA,” katanya.

Baju kurung teluk belanga, baju kurung cekak musang, baju kurung cekak sejari, baju Melayu samping berdagang luar dan samping berdagang dalam, kebaya panjang serta kebaya pendek antara rekaan yang digunakan wanita berusia 32 tahun ini bagi penghasilan miniaturnya.

Memilih fabrik sebagai material utama, Elmi berkata, penggunaan kain membuatkan cenderahati lebih nampak ‘hidup’ dan bersesuaian dengan konsep busana.

Menyifatkan kain batik dan kapas pilihan terbaik, fabrik jenis ini lebih mudah diuruskan, digam dan kesan gam tidak terlalu ketara pada rekaan baju dihasilkan.

Tidak digalakkan menggunakan kain bertekstur licin kerana ia sukar untuk dibentuk bagi mereka yang kurang mahir.

AKTIF mengadakan bengkel. FOTO fail NSTP
AKTIF mengadakan bengkel. FOTO fail NSTP

Mengulas berkenaan sumber fabrik, Elmi berkata, ia diperoleh daripada kain perca, pembelian kain batik bercorak halus serta lebihan gulungan kain terakhir yang terjual di kedai tekstil pada harga rendah.

Katanya, kombinasi rona bertepatan mampu menghasilkan karya yang sangat cantik. Tip utama adalah memilih fabrik berwarna terang, digabungkan bersama rona kontra, corak bunga kecil dan kedudukan corak bertepatan.

Contohnya, gabungan baju yang bercorak, kain polos bersama selendang bermotif seiring dengan warna fabrik yang dipilih.

Aktif menyertai program interaktif dan bengkel di sekolah, Elmi mengakui fokus utama adalah memperjuangkan rekaan busana warisan namun terbuka dengan fesyen kreativiti peserta yang menggunakan konsep diajarnya.

Tegas Elmi, paling utama beliau ingin berkongsi keindahan pakaian tradisional Malaysia bersama pelancong asing yang mencari buah tangan istimewa dari negara ini, sekali gus mencipta keunikan Malaysia dari sisi berbeza.

Katanya, keunikan ini seharusnya dikongsi bersama rakyat tempatan kerana terdapat variasi rekaan dan jenis busana warisan yang jarang dilihat terutama anak muda.

Peranan memperjuangkan warisan bangsa dan negara bakal dijulang generasi muda, usaha memperkasakan keunikan tradisional perlu didedahkan kepada golongan berkenaan.

CENDERAHATI istimewa Malaysia. FOTO fail NSTP
CENDERAHATI istimewa Malaysia. FOTO fail NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 12:59 PM