PENGUNJUNG menghayati salah satu karya dipamerkan.
PENGUNJUNG menghayati salah satu karya dipamerkan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Pameran lukisan@Premiera kali ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila menggandingkan dua artis iaitu Faizal Samat dan Azhar Arshad sebagai peserta dalam pameran berkenaan.

Azhar mempunyai pengalaman lebih 30 tahun sebagai pengkarya seni visual dan namanya begitu dikenali.

Sementara Faizal pula tidak kurang hebatnya apabila banyak karyanya berjaya menambat hati pengumpul koleksi untuk membelinya.

Kedua-dua mereka mempunyai kecenderungan dan kepakaran berbeza dalam berkarya. Malah sentuhan ‘magis’ mereka boleh membuatkan sesiapa saja terpukau melihatnya.

Karya itu boleh dihayati dalam pameran bertemakan bebas yang diadakan di Hotel Premiera dengan kerjasama Mac Training Centre Sdn Bhd bermula 1 hingga 31 Julai ini.

Sebanyak 42 karya dipamerkan yang terdiri daripada 22 kerja seni Azhar sementara Faizal pula 20 lukisan.

Faizal berkata, beliau lebih cenderung menghasilkan lukisan genre impression yang menggunakan medium minyak di atas kanvas.

Katanya, kebanyakan karyanya menonjolkan haiwan sebagai objek utama visual kerana ia memberikan makna tertentu.

FAIZAL bersama lukisannya bertajuk Si Jantan Yang Berkokok.
FAIZAL bersama lukisannya bertajuk Si Jantan Yang Berkokok.

“Lukisan bertajuk Si Jantan Yang Berkokok umpamanya, haiwan ini menterjemahkan simbol kekuatan mengikut kepercayaan masing-masing.

“Di Indonesia, ayam jantan dijadikan ayam sabung yang bertarung hingga mati untuk mempertahankan kawasannya.

“Sebab itu, karya yang terdapat imej ayam sering menjadi pilihan dan dinantikan pengumpul lukisan,” katanya.

Sementara itu, Azhar pula mempunyai kebolehan menghasilkan karya menggunakan pelbagai medium seperti minyak, air dan akrilik atas kanvas.

Katanya, lukisan bertajuk Di Selimuti Alam 4 begitu dekat dengan dirinya kerana ia berkisarkan pengalaman kehidupan peribadinya ketika muda yang dihasilkan pada 2014.

“Jika dihayati lukisan ini akan menampakkan visual wanita yang ‘diselimuti’ daun, bunga dan alam.

“Manusia dan alam adalah sama, begitu juga dengan hidupan lain,” katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

PAMERAN LUKISAN@PREMIERA

• ARTIS: 2

• KARYA: 42

• TARIKH: 1 Julai hingga 31 Julai 2018

• MASA: 7 pagi hingga 10 malam (setiap hari).

• TEMPAT: Tingkat 5, Coffee House, Premiera Hotel Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 1:53 PM