DR Aini mendengar taklimat berkenaan Putra Future Classroom.
DR Aini mendengar taklimat berkenaan Putra Future Classroom.
HM Digital

Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal melancarkan Putra Future Classroom yang akan menjadi pusat rujukan amalan terbaik pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran bagi semua pihak di dalam serta luar negara.

Naib Canselor UPM Prof Paduka Dr Aini Ideris berkata, Putra Future Classroom ditubuhkan untuk menyediakan prototaip bagi ruang bilik darjah atau bilik kuliah pendidikan masa hadapan.

“Saya yakin, melalui Putra Future Classroom ini, ia dapat menjadi salah satu medium untuk menerokai amalan terbaik dan bagaimana budaya ilmu akan diadunkan secara kreatif serta inovatif bagi mendepani perubahan masa depan,” katanya.

Beliau berkata, Putra Future Classroom turut mendapat sokongan dan khidmat nasihat perundingan teknikal daripada beberapa rakan universiti antaranya Huawei Malaysia, Tanand Technology, Ingeniwoks, Clouston Landscape, Microsoft Malaysia, Open Learning Australia dan Malaysia, Path Green Energy, Amanah Hartanah Bumiputera dan Pelaburan Hartanah Berhad

“Harapan saya, Putra Future Classroom bakal menjadi antara program kemegahan UPM yang berupaya memberikan manfaat kepada semua pihak di dalam dan luar UPM,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Putra Future Classroom Prof Madya Dr Habibah Ab Jalil berkata, Putra Future Classroom bertepatan dengan matlamat universiti bagi memastikan perisian aktiviti bilik darjah dan bilik kuliah masa hadapan akan sentiasa melihat ke hadapan mendepani perubahan dalam era digital Revolusi Industri 4.0 dan Gagasan Pendidikan 4.0.

“Putra Future Classroom menggunakan pendekatan pembelajaran dan pengajaran terkini yang interaktif, teradun dan realiti virtual, segalanya Internet, data analisis dan kecerdasan buatan. Berpandukan kepada teras falsafah pendidikan yang menjadi dasar setiap perencanaan PFC,” katanya.

Malah, Putra Future Classroom juga berperanan sebagai ‘launching pad’ dan ‘test pad’ sampel kelas atau bilik kuliah abad ke-21 yang akan sentiasa mengalami perubahan selaras dengan matlamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 2:56 PM