Maszlee (dua dari kanan) ketika merasmikan Putra Future Classroom UPM. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Maszlee (dua dari kanan) ketika merasmikan Putra Future Classroom UPM. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Idris Musa


KERAJAAN tidak boleh menutup pintu kepada kanak-kanak yang ingin belajar kerana semuanya berhak mendapatkan pendidikan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, Kementerian Pendidikan mengutamakan knak-kanak dan berpegang kepada pendidikan untuk semua.

“Kita tidak boleh menutup pintu terhadap orang yang ingin datang belajar. Bagi kita semua anak-anak berhak mendapat pelajaran, itu sebahagian daripada hak asasi mereka.

“Kita akan memastikan bahawa setiap anak-anak akan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti kerana itu merupakan tanggungjawab bagi Kementerian Pendidikan.

“Kita akan cuba memastikan bahawa tidak ada lagi kanak-kanak yang tercicir daripada sekolah kerana kita meyakini bahawa pendidikan adalah hak bagi setiap anak dan kita ingin setiap anak-anak di Malaysia mendapat pendidikan berkualiti,” katanya ketika ditanya kemungkinan ada ibu bapa yang tidak mengambil vaksin kepada anak akan terjejas peluang untuk mendapat pendidikan.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Putra Future Classroom di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Datin Paduka Prof Dr Hamisah Tapsir, Naib Canselor UPM Prof Datuk Aini Ideris dan Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM Prof Dr Aida Suraya Md Yunus.

Dalam pada itu, Maszlee menyeru mana-mana pihak boleh mencipta apa-apa aplikasi yang mesra pengguna, menarik dan menyeronokkan malah boleh diakses secara percuma bagi pembelajaran bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Matematik.

Katanya, usaha itu supaya menjadi satu pendemokrasian ilmu iaitu dengan wujudnya aplikasi terbabit orang ramai dapat belajar dan memperbaiki penguasaan mereka secara mudah.

“Bagi pihak kementerian, kita akan menyokong sesiapa yang dapat membangunkan aplikasi seumpama ini yang boleh diakses sesiapa saja secara percuma kerana kita yakin bahawa ilmu adalah milik semua.

“Dan bagi kami di Kementerian Pendidikan, kita percaya bahawa pendidikan untuk semua, kita akan menyokong sebarang usaha seperti ini dan kita akan bantu untuk mempromosikannya,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 8:41 PM