FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling


UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjalankan pembelajaran atas talian dalam bentuk kuliah maya bagi membolehkan proses pembelajaran berlaku secara berterusan.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Aini Ideris berkata, Senat UPM sejak tahun 2019 sudah membenarkan kuliah maya ini dibuat sebagai sebahagian daripada kaedah pengajaran untuk semua kursus di universiti itu.

Katanya, apabila wabak Covid-19 mula meningkat ke peringkat global pada awal tahun ini, UPM adalah universiti terawal di Malaysia yang mengadakan kuliah maya pada dua minggu pertama kuliah, bulan lalu.

“Apabila kes Covid-19 meningkat di Malaysia dan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, UPM juga membuat pengumuman untuk menjalankan kuliah maya dari 14 Mac sehingga 5 April 2020.

“Namun apabila PKP dilaksanakan, kuliah maya dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020 ditangguhkan terlebih dahulu kerana terdapat kekangan Internet kepada pelajar yang berada di luar kawasan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, UPM dalam proses mengenal pasti pelajar dan tahap kelajuan Internet mereka untuk membolehkan pembelajaran atas talian dapat dijalankan dengan berkesan.

“Selain pembelajaran, UPM juga bersedia untuk melaksanakan penilaian atas talian dan ia juga satu bentuk penilaian alternatif yang digariskan dalam Transformasi Akademik UPM yang dilancarkan tahun lalu.

“Kita sentiasa positif dalam mendepani cabaran ini. Hikmah yang nyata ialah situasi pada masa kini merupakan faktor penolak untuk memastikan pembelajaran dan penilaian alaf baru dapat dijalankan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 5:43 PM