PELAKON popular Umie Aida dan Ungku Ismail turut menjayakan teater Mak Cun.
PELAKON popular Umie Aida dan Ungku Ismail turut menjayakan teater Mak Cun.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Kegagalan beberapa pementasan teater yang dipersembahkan di Istana Budaya (IB) tahun ini serta keengganan badan korporat memberi tajaan, membuatkan penggiatnya ber­anggapan seni persembahan pentas bakal mati.

Walaupun ada yang berusaha menggunakan formula menampilkan pelakon popular dan mewujudkan elemen komersial dalam karya sastera dipentaskan di Istana Budaya, ia masih gagal menarik minat penonton menyaksikan apa yang mahu dipersembahkan.

Pelbagai faktor dan teori diberikan membabitkan sambutan dingin yang mula diterima pementasan teater tempatan terutama di dewan besar dan gah.

Ramai mengaitkannya dengan faktor ekonomi yang tidak berapa baik dan masyarakat lebih berhati-hati dalam berbelanja. Menyaksikan pementasan teater mahupun muzikal dengan harga paling murah RM70 dianggap terlalu tinggi.

Bagi memastikan dewan IB penuh, kebelakangan ini penerbit mula menurunkan harga tiket dengan paling mahal tidak melebihi RM300 dan tiket paling rendah RM45. Perkara itu juga masih gagal menarik minat umum.

Berbeza pula situasinya apabila teater Mak Cun yang dilakon dan diarahkan Erma Fatima mencatat sejarah meraih kutipan tertinggi berjumlah RM1.2 juta.

Selain Erma, Mak Cun turut mengekalkan beberapa pelakon asal dari siri TV seperti Datin Seri Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Balkisyh dan Nora Danish.

Bagaimanapun untuk mewarnai pementasan, selaku pengarah dan penulis skrip, Erma mewujudkan beberapa watak baru yang dibintangi Dafi, Ungku Ismail dan Fauziah Ahmad Daud.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani sewaktu dihubungi bagi berkongsi mengenai berita gembira itu menjelaskan, pihaknya turut terkejut dengan kejayaan diraih.

Katanya, sambutan hangat diterima teater muzikal Mak Cun yang diangkat dari siri TV yang disiarkan di TV3 sebelum ini, juga menyebabkan pementasannya pada 14 hingga 22 November lalu ditambah pementasannya selama tiga hari dan turut penuh.

“Apa yang lebih membanggakan apabila kutipan RM1.2 juta itu diperoleh hanya dengan jualan tiket yang dibeli orang ramai dan bukan atas bantuan badan korporat.

“Hendak diikutkan, memang pementasan Lat masih memegang rekod jualan tiket paling tinggi, tetapi harus diingat kejayaan diraih Lat disebabkan bantuan badan koporat di mana tiketnya habis dijual,” katanya.

Senario dilalui Mak Cun berbeza apabila seminggu sebelum pementasan bermula, tiket baru terjual 2,000 sedangkan sepatutnya dalam tempoh itu 12,000 tiket harus dijual berbanding 14,000 tempat disediakan.

“Tiba-tiba dua hari sebelum pementasan, barulah jualan mula kencang. Saya membuat andaian, menjadi sikap orang Malaysia memang suka menunggu saat akhir untuk mendapatkan tiket.

“Mereka mahu mendapatkan maklum balas daripada orang terawal yang datang menyaksikan pementasan ini. Promosi mulut ke mulut dan media tempatan banyak membantu.

“Tambah pula karakter Mak Cun diketahui seluruh Malaysia membolehkan kita mendapat penonton yang datang membeli tiket secara langsung,” katanya.

Kata Juhari, dia yakin penonton teater muzikal masih ada pengikut tetapi karya yang mahu dipersembahkan itu harus ada jenama yang boleh menarik minat orang mahu datang menonton.

“Kalau hendak diikutkan, Mak Cun tidak tersenarai dalam kalendar pementasan untuk tahun ini tetapi memandangkan ia siri televisyen sangat popular menyebabkan IB tawarkan Erma untuk mementaskannya,” katanya.

Mengenai kemungkinan Mak Cun dipentaskan sekali lagi, jelas Juhari perkara itu tidak mustahil tetapi ia harus datang dengan cerita baru dan pelakon berbeza.

Mengambil contoh pementasan kanak-kanak Hi5, mereka beberapa kali datang dan mengadakan pementasan di Malaysia dan setiap kali datang mereka akan tampil dengan cerita baru.

“Begitu juga dengan Mak Cun, ia sudah punya jenama tetapi kalau mahu dipentaskan lagi ia harus tampil dengan konsep dan jalan cerita berbeza seperti mengangkat kisah Combi lakonan Fauziah Ahmad Daud yang bergaduh dengan Mak Cun,” katanya.

Sementara itu Erma turut mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai kutipan diterima Mak Cun. Baginya, Mak Cun hanya cerita memaparkan kehidupan wanita berjinak-jinak menjadi peniaga di kampung.

“Saya sendiri tidak tahu apa sebabnya. Hendak di­ikut­kan jalan cerita ditampilkan adalah biasa dan barisan pelakon juga tidaklah terlalu popular.

“Ini mungkin rezeki saya tahun ini. Bayangkan jumlah kutipan diperoleh itu juga mengatasi Bahayanya Wanita yang pernah dipentaskan sebelum ini dari sudut kutipan,” katanya.

Mengenai formula ditampilkan untuk memastikan kejayaan Mak Cun di TV mahupun teater, kata Erma dia sendiri tidak tahu mengapa karya terbarunya boleh menjadi satu fenomena.

“Apa yang membuatkan saya bertambah hairan apabila ia digemari kanak-kanak. Kalau hendak diikutkan, Mak Cun itu wataknya garang.

“Saya hanya mampu memanjatkan syukur apabila cerita dan pementasan Mak Cun diterima. Sekarang saya harus memikirkan bagaimana hendak mempertahankan fenomena terhadap Mak Cun supaya berterusan memandang­kan selepas ini saya akan mengadakan persembahan teater Mak Cun menjelajah seluruh Semenanjung.

“Antara negeri yang akan dijelajah ialah Kedah, Johor, Pulau Pinang dan Pahang. Dalam waktu sama, Mak Cun musim kedua akan disiarkan di TV3. Filemnya juga akan diterbitkan pertengahan tahun hadapan diikuti drama animasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:02 AM