Izzali Ismail


Alor Setar: Kira-kira 500 penyokong Kedah bermalam di pekarangan Stadium Darul Aman di sini, demi mendapat tiket bagi menonton perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Kedah dan PDRM yang akan berlangsung malam ini.

Mereka mula berkumpul seawal 9 malam tadi di beberapa kaunter tiket yang hanya akan dibuka mulai 9 pagi ini.

Menurut penyokong tegar skuad Helang Merah, Mohd Nazrin Salim, 26, orang ramai mula beratur panjang sejak 9 malam tadi dan ada yang membawa kelengkapan seperti tikar, khemah dan makanan.

"Suasana meriah seperti berkelah apabila ramai pembeli tiket termasuk wanita beratur dan saling bersembang sesama sendiri mengenai perlawanan yang akan berlangsung esok sambil makan dan minum," katanya ditemui, malam tadi.

Dijangkakan lebih 25,000 penonton bakal membanjiri Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Kedah yang juga pasukan pilihan ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2016.

Pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) baru-baru ini menghadkan kuota sebanyak tiga tiket untuk seorang pembeli berbanding lima tiket sebelum ini bagi mengelak isu ulat tiket berulang di Stadium Darul Aman.

Kaunter tiket yang akan dibuka adalah Kaunter A3 untuk tiket Astaka Utama, Kaunter Duntuk tiket berbumbung dan Kaunter B dan F pula untuk tiket terbuka.

Sebanyak 16,500 tiket akan dijual seawal 9 pagi selepas ditolak 5,000 melalui agihan jualan online , 2,500 diagihkan kepada ahli eksekutif KFA, badan gabungan KFA, pegawai serta pemain, dan 1,000 tiket yang diagihkan kepada penaja dan orang kenamaan (VVIP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 1:15 AM
ANTARA penyokong yang bermalam di pekarangan Stadium Darul Aman demi mendapat tiket  perlawanan separuh akhir Piala Malaysia. FOTO Izzali Ismail
ANTARA penyokong yang bermalam di pekarangan Stadium Darul Aman demi mendapat tiket perlawanan separuh akhir Piala Malaysia. FOTO Izzali Ismail