PENYOKONG Kedah beratur di kaunter jualan tiket di Stadium Darul Aman bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA menentang Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam
PENYOKONG Kedah beratur di kaunter jualan tiket di Stadium Darul Aman bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA menentang Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam
Oleh Izzali Ismail


JANGKAAN penyokong Kedah terhadap suasana sesak yang selalunya berlaku di kaunter jualan tiket perlawanan akhir Piala FA antara Perak menentang Kedah yang mula dijual pagi di Stadium Darul Aman pagi ini ternyata meleset.

Tinjauan Arena Metro mendapati kaunter tiket hanya dipenuhi peminat dalam tempoh 15 minit pertama dan selepas itu kembali lengang menyebabkan ramai pembeli seakan tidak percaya suasana sesak yang pernah melanda Stadium Darul Aman berapa tahun yang lalu tinggal kenangan.

Menurut seorang penyokong Mohd Nazirul Hafiz Azizan 36, beliau pada mulanya agak gusar memikirkan suasana sesak di kaunter tiket yang terpaksa dihadapi demi impiannya menyaksikan final pada musim ini.

Sanggup datang sehari lebih awal demi memastikan tiket ke final seperti yang saya lakukan pada tahun-tahun sebelum ini dan saya bertolak dari Taiping semalam dan saya terpaksa menyewa hotel disini untuk dapatkan tiket seawal pagi.

"Tapi saya terkejut bila tiba di kaunter hari ini, saya cuma ambik masa seminit saja dan tak kalut. Perbezaan suasana di kaunter julan tiket nampak sungguh berbeza, mungkin juga tempahan melalui bas juga banyak."

Bagi penyokong wanita, Nur Afzan Alyas 28, hasrat membeli tiket untuk beliau dan anaknya tercapai apabila tidak perlu menunggu lama di kaunter kali ini.

"Hari ni hari kerja nampak suasana jualan perlahan, hari ni hari bekerja dan mungkin pembeli datang secara berperingkat seperti waktu rehat nanti mungkin akan ada lagi orang yang akan datang beli.

"Tahun lepas kalau tak silap, jualan adalah pada masa cuti dan pada masa itu, ramai yang datang. Hari ni hari kerja, jadi mungkin payah nak keluar awal untuk beli..

"Namun saya tetap memuji pihak pengurusan tiket yang memastikan keselesaan pembeli seperti saya dengan mengasingkan beberapa kaunter untuk wanita dan kanak-kanak.

"Saya tetap bersyukur memprolehi tiket final ini dan ini peluang terbaik Kedah membawa pulang Piala FA ke Darul Aman pada musim ini."

KFA sebelum ini mengumumkan tarikh penjualan tiket bermula pada 23 Julai dan agihan peruntukan tiket Perlawanan Akhir Piala FA 2019 dari pihak Malaysian Football League (MFL) adalah sebanyak 30,000 keping dimana 20,000 keping tiket dijual di kaunter Stadium Darul Aman manakala 10,000 keping tiket lagi adalah untuk peruntukan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 1:37 PM