Kuala Lumpur: Felda Global Ventures Downstream Sdn Bhd (FGVD), anak syarikat milik penuh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) merancang melabur RM80 juta bagi membangunkan kilang pemprosesan vitamin E di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Perjanjian pelaburan diumumkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, di sini, semalam.

Pengerusi FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pelaburan itu melibatkan pembelian tanah seluas 1.2 hektar (tiga ekar) untuk pembinaan kilang pemprosesan di Kuantan Integrated Biopark, Pahang.

“Proses pembinaan kilang dijangka bermula sebaik saja urusan pengambilalihan tanah selesai dan dijadualkan siap pada 2016.”

“Kilang itu mempunyai kapasiti keluaran sebanyak 75,000 kilogram setahun dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena mesyuarat suku keempat ECER 2014 di Parlimen semalam.

Kilang terbaru itu bakal menggunakan teknologi mesra alam terkini serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan berterusan bagi memastikan operasinya menepati piawaian persekitaran yang mapan.

Menurut Mohd Isa, pelaburan tersebut membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan dan FGVD juga akan merangka program pembangunan tenaga kerja mahir untuk petugas yang terlibat. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:06 AM