MODEL perniagaan baharu itu Felda  memberi fokus untuk melengkapkan rantaian bekalannya membabitkan ladang, kilang dan segmen hiliran.
MODEL perniagaan baharu itu Felda memberi fokus untuk melengkapkan rantaian bekalannya membabitkan ladang, kilang dan segmen hiliran.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini bersedia mengembalikan semula kegemilangannya menerusi model perniagaan baharu yang dilaksanakan ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, melalui model perniagaan baharu itu Felda memberi fokus untuk melengkapkan rantaian bekalannya membabitkan ladang, kilang dan segmen hiliran.

Katanya, model perniagaan baharu itu juga dicadangkan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan kerajaan pada Julai lalu dan dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar.

"Agenda kami untuk melengkapkan rantaian bekalan perniagaan Felda termasuk dari memiliki dan mengusahakan ladang sehingga memiliki kilang pemprosesan dan seterusnya mengeluarkan produk sendiri.

"Ketika ini, model perniagaan sedia ada Felda dilihat tidak mampan kerana tiada rantaian bekalan lengkap dan tertumpu di peringkat perladangan sahaja.

"Dengan model perniagaan baharu ini juga nanti kami percaya bukan saja dapat membayar hutang Felda yang kini mencecah RM10 bilion, bahkan mampu menjana lebih pendapatan.

"Sebagai permulaan kami mahu ambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajakkan kepada Felda Global Venture (FGV) melalui Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) selama 99 tahun.

"Rancangan ini dipersetujui lembaga pengarah Felda dan kini menunggu keputusan daripada kerajaan sebelum kami memulakan rundingan dengan FGV," katanya dalam temu bual bersama Harian Metro dan Berita Harian di sini.

Idris berkata, selain itu Felda melaksanakan penstrukturan semula kewangan dengan penerbitan sukuk dan penjualan aset bukan teras.

Katanya, melalui model baharu ini Felda mahu pengurusan lebih efisien dan cekap serta perubahan corak pemikiran supaya mencapai peningkatan pendapatan dan mengurangkan kos overhed.

Beliau berkata, bagi meningkatkan hasil ladang, Felda menetapkan program 2523, iaitu 25 tan hasil bagi setiap satu hektar dan peningkatan 23 peratus kadar perahan minyak (OER) pada 2023 serta penggunaan teknologi moden, mekanisasi, automasi dan pertanian pintar secara bersepadu.

"Kami melaksanakan kepelbagaian tanaman dalam ladang seperti nanas, halia muda, kunyit hitam dan tanaman herba.

"Selain itu kami perkenalkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) apabila kerajaan memberi peruntukan RM1 bilion untuk dilaksanakan dalam tempoh empat tahun bagi meningkatkan pendapatan peneroka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 7:10 AM