VIVIAN (kanan) dan Khe Wei tempah tiket ke separuh akhir.
VIVIAN (kanan) dan Khe Wei tempah tiket ke separuh akhir.
myMetro

Kuala Lumpur: Selepas sering mempamer aksi hambar, gandingan beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei kembali mempamer aksi cemerlang apabila menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Macau.

Pada aksi suku akhir semalam, gandingan negara itu dilihat tidak berdepan masalah menewaskan lawan dari Taiwan Hao Yun Wen-Jing Ya Ye 21-15, 21-18 dalam tempoh 32 minit.

Kali terakhir Vivian-Khe Wei mara ke separuh akhir adalah pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka Indonesia, Jun lalu.

Mengulas mengenai perlawanan semalam, Vivian berkata dia serta Khe Wei tidak mempamerkan aksi terbaik meskipun dilihat mudah menewaskan lawan mereka itu.

“Hari ini (semalam) kami tidak beraksi dengan baik tapi saya gembira kerana kami berjaya mara ke separuh akhir,” katanya.

Untuk aksi separuh akhir hari ini, Vivian-Khe Wei yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan bakal bertemu Anggia Shitta Awanda-Mahadewi Istirani Ni Ketut.

“Saya pasti ia satu perlawanan yang sukar. Kami pernah bertemu mereka beberapa kali dan ia bukanlah pertemuan mudah.

“Jadi kami perlu melakukan persiapan yang rapi,” katanya.

Turut mara ke separuh akhir adalah beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menewaskan wakil Indonesia Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika 22-20, 24-22 dalam tempoh 49 minit.

Satu lagi beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut mara selepas menewaskan Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung 21-12, 21-14.

Sementara itu, beregu campuran negara yang juga pilihan utama kejohanan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 12-21, 22-20, 15-21 kepada gandingan China Zhang Nan-Li Yinhui.

Turut gagal mara ke separuh akhir perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng yang tewas 13-21, 17-21 kepada Tzu Wei Wang dari Taiwan.

Perseorangan wanita negara Goh Jin Wei menerima nasib sama apabila tewas 14-21, 10-21 kepada Chen Yufei dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:14 AM