VIVIAN  (kanan) dan  Khe Wei membalas pukulan  beregu China di Pusat Sukan Kunshan, semalam.
VIVIAN (kanan) dan Khe Wei membalas pukulan beregu China di Pusat Sukan Kunshan, semalam.

Kunshan, China: Seperti dijangka skuad Piala Uber negara tiada daya untuk menewaskan gergasi dunia China apabila tewas 0-5 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A semalam.

Namun, yang paling mengecewakan adalah prestasi beregu pertama wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang tewas 11-21, 21-14, 18-21 kepada beregu nombor tiga dunia Tang Yuanting-Yu Yang meskipun pada satu ketika di ambang kemenangan.

Selepas Tee Jing Yi tewas mudah 13-21, 11-21 kepada Li Xuerui pada perlawanan pertama, Vivian-Khe Wei seakan memberi sinar untuk menyamakan kedudukan apabila satu ketika di set penentuan selesa mendahului 18-11.

Bagaimanapun, selepas itu, mereka terus hilang fokus yang menyaksikan Yuangting-Yang berjaya meraih 10 mata berturut-turut sekali gus mencatat kemenangan mutlak.

“Mungkin sebab terlalu ghairah untuk meraih mata, kami akhirnya hilang fokus. Lawan pula mengambil kesempatan dan berjaya meraih mata berturut-turut.

“Ketika itu, kami sudah mula rasa tertekan. Saya aku kami tidak memanfaatkan peluang terbaik ini untuk mencatat kemenangan,” kata Vivian.

Pemain perseorangan negara Goh Jin Wei yang turun selepas itu pula nyata gagal menyaingi rentak permainan pemain berpengalaman Wang Yihan apabila tewas 16-21, 14-21 sekali gus mengesahkan kemenangan China.

Beregu kedua negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pula memberi tentangan sengit sebelum tewas 15-21, 21-19, 11-21 kepada Tian Qing-Zhao Yunlei manakala Soniia Cheah pula tewas mudah 9-21, 10-21 di tangan Sun Yu.

Skuad negara akan berehat hari ini sebelum turun pada perlawanan kedua bertemu Denmark esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 9:19 AM