BECKHAM dan Ronaldo antara ikon Red Devils yang menyarung jersi no.7.
BECKHAM dan Ronaldo antara ikon Red Devils yang menyarung jersi no.7.
Reuters

London: David Beckham meminta pemain sayap Manchester United Memphis fDepay supaya menjadikan jersi tersohor nombor 7 dipakainya sebagai sumber inspirasi sekali gus mengukuhkan kariernya bersama Red Devils jika mahu disenaraikan untuk menentang Watford, esok.

Memphis menyertai United dari PSV Eindhoven hujung musim lalu dan penjaring terbanyak Liga Belanda dengan 22 gol itu diberi peluang menyarung jersi nombor 7 yang pernah digunakan bintang United seperti George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, Cristiano Ronaldo dan Beckham.

Pemain antarabangsa Belanda itu membuat permulaan baik di Old Trafford dan tidak pernah gagal mengisi senarai kesebelasan utama sepanjang 13 perlawanan berturut-turut tetapi dia dikeluarkan ketika kalah 0-3 kepada Arsenal pada 4 Oktober lalu.

Sejak itu, pengurus Louis van Gaal menggugurkan namanya daripada kesebelasan utama.

Begitupun, kecederaan menimpa Anthony Martial ketika perlawanan persahabatan England menentang Perancis, kelmarin bermakna peluang Memphis untuk kembali bergelar pemain utama kini terbuka.

Pemain antarabangsa Belanda itu bukanlah satu-satunya pemain United yang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jersi nombor 7.

Rakan sepasukannya, Antonio Valencia kembali menyarung jersi nombor 25 selepas gagal beraksi baik dengan jersi nombor 7 manakala nama lain seperti Angel di Maria dan Michael Owen turut gagal menyerlah sepanjang menyarung jersi nombor sama di kelab berkenaan.

Beckham bagaimanapun menafikan ada tekanan tambahan yang mengiringi pemain dengan nombor berkenaan dan beliau menyarankan Memphis supaya mencontohi Robson dan Cantona.

“Saya tidak melihat nombor itu sebagai badi sebaliknya satu penghormatan,” kata Beckham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:24 AM