Agensi

London: Jersi ikonik No 7 kekal tidak dimiliki sejak pemergian Cristiano Ronaldo pada musim sejuk yang lalu.

Ronaldo menamatkan karier keduanya di Manchester United susulan wawancara kontroversi dengan Piers Morgan.

Tindakan itu mengejutkan penyokong United dan kelab tidak mempunyai masa mencukupi untuk mencari pewaris jersi No 7.

Bekas pemain seperti George Best, Bryan Robson, Erik Cantona dan David Beckham memakai jersi ikonik terbabit sebelum Ronaldo menyarungnya kali pertama pada 2003.

Sejak pemergian Ronaldo, beberapa calon muncul pewaris terbaru jersi terbabit dengan ramai peminat melihat Jadon Sancho sebagai pemain pilihan memakainya sejak berpindah dari Borussia Dortmund pada 2021.

Namun bintang Inggeris itu tampak bergelut mendapatkan minit permainan di bawah kendalian Erik ten Hag.

Kini penyokong Man United mendapat bayangan Alejandro Garnacho bakal menjadi pemilik terbaru jersi ikonik itu.

Semalam, United menghantar notifikasi menerusi media sosial bersama kapsyen: "Jika anda peminat sebenar Alejandro, anda akan menjaringkan sekurang-kurangnya tujuh daripada 10," berserta emoji ceria.

Garnacho yang memakai jersi nombor 49 bermula cemerlang di bawah kendalian Ten Hag musim lalu. Penyerang Argentina itu tampil 19 kali dalam aksi Liga Perdana, menjaringkan tiga gol dan mencipta dua bantuan jaringan.

Memakai jersi No 7 adalah detik paling bermakna buat Garnacho yang menganggap Ronaldo sebagai idolanya. Keputusan itu juga bermakna Ten Hag merancang menjadikan pemain berusia 18 tahun itu antara tonggak bahagian serangan United musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 6:02 PM