HAMILTON hampir cergas 100 peratus untuk GP Brazil.
HAMILTON hampir cergas 100 peratus untuk GP Brazil.
Reuters

Sao Paulo: Juara Dunia Formula Satu Lewis Hamilton percaya tidak berdepan sebarang masalah menghadapi Grand Prix Brazil hujung minggu ini walaupun tiba lewat di Sao Paulo kerana demam dan terbabit kemalangan.

“Saya cuma penat kerana mengharungi perjalanan jauh. Tapi saya hampir cergas 100 peratus,” kata pemandu Mercedes itu di Litar Interlagos menjelang perlumbaan penutup musim yang sudah dimenanginya.

Hamilton mendedahkan dia mengalami demam selepas terbabit kemalangan kereta di Monaco, awal pagi Selasa lalu.

Pemandu Britain berusia 30 tahun itu berkata, dia bertanggungjawab atas kemalangan itu kerana tidak mahu ada pihak cuba mengambil kesempatan atas insiden berkenaan.

“Tidak ada sesiapa yang cedera dan itulah yang paling penting,” katanya. “Tapi kereta rosak teruk.”

Dia tidak memberikan butiran lanjut berhubung kemalangan itu tetapi laporan media menyebut Hamilton memandu Pagani Zonda berwarna ungu yang dianggarkan bernilai berjuta-juta dolar ketika insiden berkenaan.

Juara dunia tiga kali itu berkata, hidupnya semakin sibuk sejak Grand Prix Mexico, 1 November lalu.

“Saya ke Mexico, Rabu lalu. Kami bekerja sepanjang hari,” katanya.

“Kemudian ke London menyambut ulang tahun kelahiran ibu saya. Justeru, saya agak penat.”

Hamilton berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat di kediamannya dan hanya berlepas ke Brazil sehari lewat selepas mendapat nasihat pasukan dan doktor.

“Saya memberitahu perkara ini kerana saya percaya semua pihak perlu bertanggungjawab atas tindakan sendiri. Kesilapan sering berlaku tapi apa yang penting, kita belajar daripada kesilapan itu. Saya tidak sabar untuk berlumba hujung minggu ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:18 AM