AFP

Sao Paulo, Brazil: Lewis Hamilton (gambar) memberi amaran buat Nico Rosberg bahawa dia kini ‘memburu’ gelaran dunia keempat selepas menyifatkan kemenangan menakjubkan dalam keadaan litar basah dan kelam-kabut pada Grand Prix Brazil sebagai satu kemenangan termudah daripada 52 perlumbaan yang dimenanginya.

Pemandu Britain berusia 31 tahun itu menang di Brazil buat kali pertama selepas 10 percubaan untuk melengkapkan hatrik kemenangan dan terus menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan sekali gus bertarung hingga ke perlumbaan terakhir di Grand Prix Abu Dhabi, 27 November ini.

“Saya sedang memburu dan apa yang boleh saya lakukan adalah teruskan dengan apa yang saya buat,” kata Hamilton yang kelihatan ceria mengekori rakan sepasukan Mercedes dan pendahulu kejuaraan Rosberg yang menduduki tempat kedua dengan 12 mata, berbaki satu perlumbaan.

“Pasukan memberikan saya kereta hebat dan akhirnya ia boleh dipercayai. Ketika ini saya menikmati detik indah.

“Ini impian saya ketika berusia lima atau enam tahun, menonton perlumbaan Nelson (Piquet) dan Ayrton (Senna). Ia satu daripada perlumbaan paling mudah buat saya, kereta saya tidak berpusing, apa saja pengalaman buruk. Ia terlalu mudah.”

Kemenangan ke-52 daripada petak pertama ke-60 mengangkat Hamilton satu kemenangan mengatasi juara empat kali Alain Prost dalam catatan rekod dan kini seorang lagi pelumba mengatasinya dengan lebih banyak kemenangan iaitu juara tujuh kali Michael Schumacher dengan 91 kemenangan.

Menyedari dia perlu menang untuk terus mencabar kejuaraan, Hamilton yang mempunyai topi keledar yang direka khas sebagai menghargai Senna, memandu dengan tumpuan penuh untuk kemenangan sempurna dalam perlumbaan yang dicemari dengan kemalangan dan penangguhan akibat hujan lebat.

“Tidaklah terlalu teruk,” katanya dengan penuh ironi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat di sini, ia satu perlumbaan yang amat panjang.

“Saya menghargai segala sokongan dan mereka mengalu-alukan kedatangan kami ke sini. Saya seronok berada di depan dan apabila hujan, ia bagaikan hari yang baik untuk saya.

“Tiada kesilapan, tiada drama, kereta tidak berpusing. Memang menarik apabila mendengar betapa banyaknya kereta berpusing di belakang saya!”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 8:17 AM