ROSBERG
ROSBERG
Reuters

Sao Paulo: Juara dunia tiga kali Lewis Hamilton tidak pernah memenangi Grand Prix Brazil dan rakan sepasukannya di Mercedes Nico Rosberg berhasrat mengekalkan rekod itu buat setahun lagi.

“Saya mahu menang di sini sekalipun dia turut berhasrat menang,” kata pemandu Jerman itu yang menang di Interlagos dari petak utama tahun lalu selepas muncul pemandu terpantas dalam setiap sesi latihan.

Ketika Hamilton berasa kurang sihat sekali gus menangguhkan penerbangannya ke Brazil berikutan nasihat doktor, Rosberg pasti mahukan kemenangan berganda di Amerika Latin selepas kejayaan terbarunya di Mexico.

Dengan kedua-dua kejuaraan sudah diputuskan, Hamilton memastikan kejuaraan Formula Satu dunia kali ketiga di Texas bulan lalu selepas Mercedes mempertahankan kejuaraan pengeluar di Russia, perlumbaan Ahad ini hanya berkisar kepada pemenang.

Hamilton kini mencuba kali kelapan untuk menang di Sao Paulo, keputusan terbaiknya hadir tahun lalu apabila dia muncul naib juara dan hanya dua kali berakhir di podium.

Namun dia merangkul kejuaraan pertamanya di bandar raya Brazil itu pada 2008, apabila berakhir di tangga kelima dan perlumbaan itu amat bermakna buatnya di negara kelahiran idola masa kecilnya Ayrton Senna.

“Menjadi impian saya berlumba di Sao Paulo ketika kecil dan sering berasakan kehadirannya apabila saya di sini,” kata pemandu Britain itu.

“Menakjubkan apabila memikirkan Ayrton memerlukan lapan percubaan sebelum menang perlumbaan di sini yang belum saya menangi,” ujarnya.

“Jika saya boleh mengubahnya hujung minggu ini saya akan memberi tabik hormat kepadanya pada tahun yang amat mengagumkan ini, jadi saya akan bermati-matian bagi memastikannya berlaku.”

Rosberg muncul pelumba yang perlu dikalahkan dengan pemandu Jerman itu memburu petak utama kelima berturut-turut untuk sekali lagi menafikan Hamilton melakar petak utama ke-50, sekalipun jika rakan sepasukannya tidak memberikan tekanan terhadapnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 9:27 AM