NEYMAR  menyempurnakan sepakan penalti.
NEYMAR menyempurnakan sepakan penalti.

Barcelona: Neymar menyumbang dua gol ketika juara bertahan Barcelona berada di ambang layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas menang 3-0 ke atas BATE Borisov, awal pagi semalam.

Penyerang Brazil itu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti sebelum mengumpan kepada Luis Suarez bagi menggandakan kelebihan tuan rumah. Suarez kemudian melakukan hantaran kepada Neymar bagi melengkapkan jaringan.

Gandingan dua penyerang Amerika Selatan itu kini menyumbat 18 daripada 21 gol terakhir Barca dalam semua pertandingan berikutan ketiadaan Lionel Messi yang cedera.

“Saya amat gembira dengan permainan kami. Kami melakukan apa yang patut dan meraih gol yang diperlukan,” ujar Neymar.

“Jelas kami terasa ketiadaan Messi, tapi saya mempamerkan aksi terbaik sepanjang karier dan harap dapat terus sebegini.”

Bagaimanapun anak buah Luis Enrique menerima satu lagi tamparan apabila Ivan Rakitic terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan betis dan kini mungkin menyaksikannya diketepikan hingga kunjungan ke Real Madrid hujung bulan ini.

“Bukannya satu situasi bagus apabila seorang pemain cedera,” kata bos Barca Enrique.

“Kami menanti berita daripada doktor tapi dia pastinya terlepas perlawanan berikutnya.”

Kemenangan itu mengukuhkan posisi Barcelona di puncak Kumpulan E, lima mata di depan pasukan tangga kedua AS Roma, yang mengatasi Bayer Leverkusen 3-2 pada satu lagi aksi kumpulan itu awal pagi semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 2:03 PM