Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Malaysia dijangka dapat mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus tahun depan sekiranya harga minyak mentah melebihi AS$40 (RM170.6) setong.

Ketua Setiausaha Perbendaharan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, selain memperkenalkan pelbagai projek untuk menyokong ekonomi dalam Bajet 2016, kerajaan percaya aktiviti ekonomi domestik juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi pada kadar empat peratus.

“Bajet 2016 memberi tumpuan kepada pertumbuhan penggunaan dan pelaburan domestik, malah kita menyediakan banyak insentif kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk merangsang projek berimpak tinggi,” katanya pada sidang media mengenai pasca Bajet 2015 di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Mohd Irwan berkata, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta juga akan melaksanakan beberapa projek seperti Bandar Cyberjaya, Lembah Wawasan di Negeri Sembilan, Aeropolis di Sepang dan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) yang akan merangsang pelaburan.

“Selain itu, pelepasan cukai untuk golongan berpendapatan sederhana dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga akan merangsang aktiviti berbelanja dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan tidak bercadang menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun hasil negara berkurangan berikutan penurunan harga minyak mentah dunia sejak awal tahun ini.

Cukai dengan kadar enam peratus itu dilaksanakan tepat pada masanya, dan terbukti mampu menyelamatkan ekonomi negara kerana hasilnya akan dipulangkan semula kepada rakyat.

“Buat masa ini, kita tidak pernah terfikir untuk meningkatkan kadar GST, langsung tiada dalam perancangan. GST baru sahaja diperkenalkan dan kita tidak boleh membebankan rakyat kerana tindakan itu hanya akan mendatangkan kesan berganda kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Irwan berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu meningkatkan keberkesanan untuk mengutip cukai termasuk melalui akses kepada data agensi kerajaan lain.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan 90 peratus peniaga mematuhi peraturan berkenaan GST, namun masih ada segelintir peniaga kecil tertentu yang tidak akur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:22 AM