Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan keputusan kewangan positif apabila keuntungan selepas cukai mengalami peningkatan sebanyak 2.9 peratus kepada RM494 juta bagi suku ketiga (S3) berakhir 30 September 2014 berbanding RM480 juta pada suku kedua 2014 dengan trend menaik dalam penunjuk operasi utama.

Hasil perkhidmatan kekal stabil RM2.05 bilion dengan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (Ebitda) berjumlah RM1.07 bilion manakala margin Ebitda pada Hasil Perkhidmatan terus kukuh pada 52.7 peratus dipacu momentum positif daripada langkah transformasi dan inisiatif pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Morten Lundal berkata, langkah transformasi berjalan lancar dan terbukti apabila prestasi suku ketiga berada pada keadaan stabil namun disertai petunjuk operasi yang menunjukkan trend menaik.

“Maxis memiliki rangkaian yang amat kompetitif meliputi majoriti penduduk selain menerajui liputan Evolusi Jangka Panjang (LTE) negara ini. Kami akan terus meningkatkan keupayaan dan memastikan mampu menyediakan pengalaman tanpa bandingan kepada pelanggan,” katanya, semalam.

Suku ketiga menyaksikan Maxis mencatatkan pemulihan dalam pra bayar dipacu oleh portfolio produk yang kukuh serta pengedaran tertumpu manakala bagi pasca bayar pula, pelan MaxisONE terus memperoleh sambutan menggalakkan dengan kemasukan pelanggan baru dan yang berhijrah ke Maxis serta impak purata pendapatan setiap unit (ARPU) lebih baik.

Morten berkata, syarikat melabur RM337 juta dalam perbelanjaan modal pada suku ini dan bakal melaburkan lebih daripada RM1 bilion tahun ini dengan rangkaian baru yang dimodenkan mencapai lebih daripada 75 peratus daripada penduduk sebelum akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:02 AM