Oleh Sofyan Rizal Ishak dan Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Insentif yang ditawarkan untuk menggalakkan pelaburan swasta dalam pengumuman Bajet 2016 dilihat selari dengan hasrat memastikan Malaysia kekal menarik dalam kalangan pelabur berikutan peningkatan momentum pelaburan langsung asing di negara ini.

Antara insentif yang diperkenalkan adalah Badan Pematuhan Penilaian Bebas (ICAB) di mana ia bertujuan untuk mengukuhkan ekosistem ujian, pengesahan dan proses pensijilan yang dikendalikan Sirim Berhad di mana aktiviti yang dicadangkan agak kritikal, namun masih tidak terdapat di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada masa ini terdapat lebih 600 ujian makmal di Malaysia dengan 80 peratus daripadanya adalah kecil dan tidak dapat menyediakan perkhidmatan ujian kepada sektor yang dicadangkan termasuk jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, makanan, aero-angkasa dan lain-lain.

“Jumlah eksport industri ini meningkat daripada RM323.5 bilion pada 2010 kepada RM354.1 bilion pada 2014. Sehingga Ogos 2015, jumlah eksport sektor ini mencapai RM247.7 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sebanyak RM1.914 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk melaksanakan program di bawah Bajet 2016 di mana RM540 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.375 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam perkembangan lain, kerajaan turut bersetuju untuk memberikan Elaun Pelaburan Semula (RA) khas selama tiga tahun kepada syarikat dalam sektor pembuatan dan pertanian yang RA masing-masing sudah tamat tempoh.

RA khas ini adalah bersamaan dengan 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang dilakukan dan boleh ditolak sebanyak 70 peratus daripada pendapatan berkanun dengan insentif ini akan mula berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2016-2018.

Mustapa berkata, Malaysia terus menerima pelaburan baru dan pada masa sama, pelabur sedia ada melaksanakan pengembangan dan kepelbagaian operasi mereka di negara ini yang sudah terbukti melalui prestasi sektor pembuatan.

“Sebanyak 453 projek perkilangan diluluskan dengan pelaburan sebanyak RM53.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2014 berbanding 499 projek dengan pelaburan sebanyak RM51.8 bilion bagi tempoh Januari-Julai 2014. Untuk keseluruhan tahun lalu, sejumlah 811 projek dengan pelaburan bernilai RM71.9 bilion diluluskan.

“Sejumlah 259 projek dengan pelaburan sebanyak RM43.4 bilion (81.1 peratus) adalah projek baru manakala sebanyak 194 projek dengan pelaburan RM10.1 bilion (18.9 peratus) adalah projek pembesaran/pelbagaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 6:08 AM