Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Industri farmaseutikal dan peralatan perubatan memiliki potensi besar yang dijangka mampu memberi impak kepada ekonomi negara berdasarkan kemajuan dicatatkan sehingga kini dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM11 bilion bagi tempoh 2010 hingga 2014.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, industri itu turut menyaksikan peningkatan eksport 12.6 peratus kepada RM13.46 bilion tahun lalu berbanding RM11.94 bilion pada 2013.

Beliau berkata, 42 projek diluluskan tahun lalu dengan pelaburan bagi peralatan perubatan bernilai RM2.15 bilion manakala pelaburan farmaseutikal bernilai RM1.10 bilion.

“Sektor elektrik dan elektronik menjadi tunjang bagi eksport kita dengan eksport peralatan perubatan dan farmaseutikal semakin berkembang,” katanya selepas menghadiri sesi dialog MITI dengan lima persatuan berkaitan industri farmaseutikal dan peralatan perubatan, di sini, semalam.

Beliau berkata, produk farmaseutikal mencatatkan peningkatan 19.8 peratus kepada RM1.17 bilion tahun lalu daripada RM982 juta pada 2013 daripada aspek eksport manakala peralatan perubatan mencatatkan peningkatan 12.6 peratus kepada RM13.50 bilion tahun lalu daripada RM12 bilion pada 2013 dalam bidang sama.

“Untuk suku pertama tahun ini, pelaburan diluluskan bagi peralatan perubatan berjumlah RM464.6 juta membabitkan 11 projek manakala pelaburan bagi farmaseutikal bernilai RM75.3 juta (lima projek),” katanya.

Mustapa berkata, industri peralatan perubatan dikenal pasti sebagai subsektor dengan potensi pertumbuhan tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 memandangkan kaitannya dengan sektor ekonomi lain seperti pembuatan dan perkhidmatan.

Sementara itu, sesi dialog terbabit dianjurkan bertujuan menyemak semula dan menimbangkan pelaksanaan beberapa cadangan berkaitan sektor farmaseutikal dan peralatan perubatan dengan perbincangan membabitkan beberapa perkara termasuk kos menjalankan perniagaan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), insentif dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:06 AM