Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani


Acapkali membuat persembahan sama ada di pentas mahupun duduk bersila berbumbungkan langit biru, komitmen ditunjukkan kumpulan Badan Kesenian Anak Kayan (Anak Kayan) sewajarnya menjadi kebanggaan masyarakat Melayu hari ini.

Hanya berbekalkan alat muzik tradisional seperti gendang ibu, gendang anak, rebana, keketuk, gong, tetawak, buluh kuntum dan bongo bersama iringan petikan gitar akustik dan dram mini, 15 ahlinya gigih memperjuangkan lagu rakyat negeri Pahang sama ada ciptaan sendiri atau daripada penyanyi asal.

Persembahan mereka sungguh meyakinkan hingga penonton terpaku kerana setiap irama muzik tradisional diperdengarkan disulami nyanyian lagu rakyat yang didendangkan gadis berusia 15 tahun.

Bertapak di Permatang Badak, Kuantan, Pahang, Anak Kayan yang ditubuhkan pada 2010 komited mempertahankan muzik tradisional Melayu diwarisi sejak berzaman yang kini semakin terpinggir disebabkan pengaruh muzik moden terutama dari barat.

Kumpulan Anak Kayan yang terdiri daripada tiga generasi iaitu kanak-kanak, belia dan dewasa sudah menjelajah seluruh negara membuat persembahan mendendangkan lagu rakyat yang jarang didengari hari ini.

Pengurusnya, Mohd Rafali Ramli, berkata kumpulan itu adalah kesinambungan daripada kumpulan gendang silat yang sudah bertapak di Malaysia sejak sekian lama.

“Selepas lima tahun penubuhannya dengan keahlian bersilih ganti, saya yakin irama muzik tradisional Melayu dan lagu rakyat ini akan terus diperdengarkan dari semasa ke semasa di seluruh pelosok negara,” katanya ketika ditemui pada program Pesta Rakyat 2015 di Pusat Rekreasi Air Balok, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Antara lagu rakyat yang kerap didendangkan adalah Seloka Negeri, Tarian Gajah, Burunglah Kenek-Kenek, Anak Kambing Cantik, Lenggang Si Anak Kayan, Menghilir Sungai Pahang, Duka Megat Panji Alam, Wau Pepeh dan Joget Pahang.

Keindahan bait lagu yang sarat dan kaya dengan unsur nasihat itu juga mempengaruhi penampilan anggota termasuk pakaian yang digayakan ketika membuat persembahan.

Tampil berbusana Melayu lengkap bertanjak sejak dua tahun lalu, Anak Kayan semakin segak bergaya dan kelihatan bak perwira Melayu malah bagi yang tidak mengenali kumpulan ini menyangkakan mereka adalah ahli kumpulan silat Melayu.

“Kami siapkan tanjak yang mempunyai pengertian tersendiri sehingga ada kalangan penonton mendekati dan bertanya kepada anggota, mengapa mereka berbusana lengkap sedang­kan ia hanya persembahan ‘biasa-biasa’ saja.

“Saya masih ingat ketika kali pertama kami berbusana dalam persembahan di Melaka pada 2013, penonton berpandangan sesama sendiri, lucu dan geli hati kerana penonton menyangka kami mahu membuat pertunjukan seni mempertahankan diri,” katanya.

Antara tanjak yang digayakan diberi nama lang menyusur angin, ayam patah kepak, balong raja, solok timbo dan semangat Bugis.

Mohd Rafali berkata, anak didiknya itu bagaikan berada dalam kelas tersendiri apabila sering menjadi tumpuan ketika beraksi.

“Lebih mengujakan apabila sepanjang majlis berlangsung kami akan menghiburkan hadirin dengan irama muzik tradisional yang kebanyakannya adalah ciptaan kami sendiri.

“Walaupun lagu rakyat jarang ke udara di corong radio, ia masih ‘laku’ untuk persembahan secara langsung dan kita dapat lihat ada dalam kalangan penonton yang ‘ghairah’ apabila dilihat cuba menyanyi bersama dan menggoyangkan badan mengikut rentak irama lagu dimainkan,” katanya.

Selain pertunjukan biasa, Anak Kayan turut mengiringi persembahan silat sebagai pembuka majlis pada setiap program yang disertai.

“Kami boleh bermain pelbagai muzik tradisional. Justeru, apabila mengiringi persembahan silat, kami sudah tahu jenis muzik yang perlu dimainkan.

“Anak Kayan bangga dan teruja apabila berpeluang berbuat demikian memandangkan kami hanyalah sekumpulan kecil rakyat Pahang yang terus memperjuangkan lagu rakyat ini dan pada masa sama bersaing dengan pelbagai genre muzik dari seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, tidak salah golongan muda berminat dengan irama muzik moden masakini tetapi pada masa sama lagu rakyat yang lahir daripada rumpun Melayu itu tidak patut dilupakan.

“Ada golongan muda bertanya, mengapa perlu bawakan lagu rakyat dalam persembahan kami sedangkan ia boleh ‘dimodenkan’ dengan adanya gabungan alat muzik seperti dram dan gitar.

“Kami mencari kelainan dalam membawa sentuhan lagu rakyat dan mahu penonton menilai sendiri bagaimana seni kata lagu itu boleh membawa pengertian lebih mendalam jika diperhalusi secara terperinci,” katanya.

Menurutnya, setiap lagu membawa maksud tersendiri dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Kita sebenarnya ada tenaga pengajar seperti penyanyi Siso Kopratasa dan penggiat seni veteran Pahang yang datang meniupkan semangat dan membantu mencipta lagu baru tetapi masih bercirikan lagu rakyat,” katanya.

Sementara itu, anggota Anak Kayan paling lama, Mohd Zulharidan Zulkafli, berjaya mengikis perasaan malu apabila tampil kali pertama membuat persembahan selepas menerima tepukan gemuruh daripada hadirin menyaksikan persembahan mereka.

“Perasaan malu, gugup dan gementar semua ada kerana persembahan kami berbeza dengan yang selalu mereka saksikan.

“Masakan tidak, campuran alat muzik lama dan baru seperti meletakkan kami dalam dunia yang berbeza dengan golongan sebaya kami yang lebih cenderung berminat dengan muzik moden hari ini,” katanya yang menyertai kumpulan itu sejak berusia 11 tahun.

Mahir bermain alat muzik gong, gendang dan gitar, Mohd Zulharidan tidak mengambil masa lama mencintai dunia muzik irama rakyat itu.

“Muzik tradisional dan lagu rakyat memang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan saya. Setiap waktu yang terluang saya akan bersama Anak Kayan membuat persembahan walaupun ia hanya pertunjukan kecil di kawasan kampung,” katanya.

Muhammad Muhaimin Mazlan, pula berbangga mengenakan busana Melayu ala pahlawan lengkap bertanjak kerana bukan semua orang berpeluang menggayakan pakaian tradisional Melayu lama itu.

“Setiap kali selesai membuat persembahan, ada saja hadirin yang merakam gambar bersama kami untuk dijadikan kenangan.

“Pada peringkat awal memang ada perasaan malu dan kekok sebab penonton lihat kami seperti orang asing,” katanya.

Walaupun sibuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Muhaiman tidak menjalani latihan sambil lewa.

“Bagaimanapun, saya akan menolak daripada menyertai persembahan yang akan diadakan jika dekat dengan tarikh saya menduduki ujian bulanan atau peperiksaan di sekolah.

“Irama muzik tradisional ini sudah sebati dengan jiwa saya dan akan terus memperjuangkannya sehingga ke peringkat lebih tinggi walaupun ada antara rakan yang mentertawakan saya dan menyatakan saya tidak mengikuti perkembangan jiwa orang muda,” katanya yang bermain alat gendang dan bongo.

Pelajar SMK Sungai Isap, Muhammad Afiq Syahmi Zahari, pula berkata, minat terhadap alat muzik tradisional, lagu rakyat dan busana digayakan ahli kumpulan itu membuatnya tertarik untuk menyertai kumpulan berkenaan.

“Biasanya pada sebelah petang jika tiada aktiviti sekolah, saya akan pergi ke rumah pengurus untuk melihat mereka berlatih.

“Saya teruja kerana dapat bermain alat muzik seperti gendang dan bongo kerana rentak muzik dialunkan sungguh menarik.

“Nampak senang tetapi susah sebenarnya bermain alat muzik tradisional kerana perlu ada keserasian sesama ahli dan penyanyi ‘masuk’ dengan sempurna untuk mendendangkan lagu,” katanya sudah empat tahun bersama Anak Kayan.

Penyanyi utama kumpulan itu, Nor Fatihah Aqilah Mustakim, yang sudah bersama sejak awal penubuhan kumpulan ternyata memperoleh pengalaman berharga menerusi persembahan yang disertainya.

“Saya masih penyanyi utama di setiap persembahan yang berlangsung sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Saya sudah melalui susah senang bersama kumpulan ini, pelbagai perkara kami lalui bersama,” katanya.

Menurutnya, atas dasar disiplin, amanah dan tanggungjawab dia dapat bertahan berbanding beberapa rakan lain yang gagal mengawal diri dan bertindak keluar daripada kumpulan.

“Lagu rakyat bukan sesuatu yang baru tetapi tidak ramai yang menyedari kehadirannya kerana ditenggelami irama moden dan pelbagai rentak muzik lain seperti rock, pop, jazz, keroncong dan pengaruh barat.

“Tetapi saya suka dan cintakan lagu rakyat kerana ia lebih dekat dengan kehidupan kita sebenarnya, malah setiap bait dalam lagu yang disampaikan mempunyai makna tersendiri yang perlu difahami dengan lebih mendalam,” katanya.

Nor Fatihah berkata, pada kebiasaannya dia akan menyampaikan lima hingga 10 lagu pada setiap persembahan malah lebih daripada itu jika ada penonton yang memintanya meneruskan nyanyian.

“Susah juga nak menghafal walaupun rangkapnya tidak panjang sehingga ada kala saya terlupa lirik lagu yang mana satu. Jika menghadapi situasi itu pakcik Man Kayan akan membantu.

“Jika dekat dengan tarikh persembahan, saya akan memperuntukkan sedikit waktu yang terluang selepas tamat waktu persekolahan untuk menghafal lirik lagu,” katanya.

Anggota paling muda, Muhammad Ashraf Hazhrozamani, pula berminat menyertai kumpulan itu kerana tertarik dengan alat muzik dan pakaian ala pahlawan Melayu.

“Saya suka alat muzik tradisional ini, ada ketika pakcik Man (Man Kayan) membenarkan saya memukul gong kerana ia mudah dimainkan. Sekejap saja dah pandai.

“Baju ini pun bukan semua orang suka pakai tetapi saya suka sebab jarang orang buat persembahan memakai pakaian seakan pahlawan Melayu zaman dulu,” katanya.

Menurutnya, ramai rakan sekolah bertanya mengenai kumpulan Anak Kayan dan bagaimana mereka membuat persembahan dengan berbusana seperti itu.

“Mereka ada bertanya saya sama ada timbul perasaan malu dengan berpakaian seperti itu di tempat awam. Saya katakan kepada mereka, saya suka dan tidak kesah apa orang lain kata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:02 AM