Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Biarpun muzik tradisional Melayu seperti gamelan, gambus dan tarun biasanya dikuasai orang Melayu, namun tidak bagi kumpulan Adun Rimbun Klasik, di sini, yang turut disertai seorang pemuda keturunan India yang mahir dalam pelbagai jenis muzik.

Pemuda itu, S Thayaalan, 21, mengakui mula belajar muzik tradisional Melayu ini sejak berusia 13 tahun ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson.

Menurutnya, muzik adalah universal kerana ia adalah penyatuan bangsa dan amat menghormati 'cikgunya'

"Saya terhutang budi kepada guru saya, Cikgu Abdullah Harun, 57, (Cikgu Dollah) yang mula-mula mengenalkan tentang muzik tradisional Melayu ini sehinggalah saya bakal menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang muzik.

"Saya bukan murid pandai atau cemerlang di sekolah, tetapi kerana kerap menghabiskan masa di rumah Cikgu Dollah belajar muzik dan dalam masa yang sama dia turut buat kelas tambahan bagi pelajaran lain, akhirnya saya berjaya melanjutkan pengajian hingga ke universiti," katanya.

Dia anak bongsu daripada empat beradik, ayah dan ibu hanya kerja kampung manakala semua kakaknya sudah berkahwin.

"Biasanya habis waktu sekolah, saya hanya bermain dengan kawan-kawan tetapi sejak belajar muzik dengan Cikgu Dollah, masa saya terisi dengan perkara yang berfaedah.

"Memang saya agak rapat dengan cikgu termasuk anaknya sudah seperti adik- beradik kerana kami sebaya, itu yang menyebabkan saya selesa biarpun kami berlainan bangsa serta agama," katanya ketika ditemui ketika mengadakan persembahan di Klana Beach Resort, di sini, kelmarin.

Thayaalan berkata, muzik tradisional Melayu sesuai dengan jiwanya mungkin disebabkan pengasuhnya berbangsa Melayu ketika kecil.

"Muzik pertama saya diajar Cikgu Dollah ialah gendang, mungkin kerana biasanya orang India suka dengan gendang, tetapi akhirnya turut memberi peluang agar saya belajar muzik lain seperti gamelan, gambus serta tarun malah keyboard juga diajar menyebabkan saya tahu hampir semua jenis muzik.

THAYAALAN tidak kekok memainkan alat muzik  tradisional Melayu seperti gamelan, gambus dan tarun ketika membuat persembahan. FOTO AZRUL EDHAM
THAYAALAN tidak kekok memainkan alat muzik tradisional Melayu seperti gamelan, gambus dan tarun ketika membuat persembahan. FOTO AZRUL EDHAM

"Bagi saya muzik tradisional ini ada masa depan kerana tidak ramai yang berminat dan saya berharap agar dapat mengajar subjek muzik tradisional Melayu nanti di sekolah agar tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas," katanya.

Sementara itu, Cikgu Dollah (Abdullah) berbangga anak muridnya, Thayaalan yang mula dikenali sejak berusia 13 tahun masih lagi bermain muzik.

"Saya ada ramai anak murid muzik, tetapi dia istimewa kerana kesungguhannya belajar dan kini bakal menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di UPSI dalam bidang muzik.

"Bagi saya dia bukan sahaja murid, tetapi saya anggap seperti anak sendiri, malah saya yakin dia boleh pergi jauh dalam bidang muzik.

"Jika ada tawaran bermain muzik tradisional sama ada di Istana Budaya atau majlis kahwin, dia akan turut serta kerana dia antara pemuzik saya yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 7:01 AM