JULIANA tidak kekok beraksi dengan kumpulannya
JULIANA tidak kekok beraksi dengan kumpulannya
Muhamaad Razis Ismail


Melihat anak jati Pasir Puteh, Kelantan ini memukul gendang ibu boleh membuatkan siapa sahaja terpegun dengan kebolehannya.

Juliana Ab Razak, 39, dilihat begitu bersahaja sambil tersenyum memukul gendang di ribanya mengikut rentak irama bersama alat muzik lain.

Biarpun alat muzik tradisional itu cukup sinonim dengan lelaki, namun kemampuan ibu empat cahaya mata ini bermain gendang 'memikat' ramai pihak sehingga digelar sebagai ratu gendang.

Bukan itu sahaja, Juliana juga berbakat dalam bidang seni suara dan baru mengeluarkan single pertamanya bertajuk Chikibom.

Juliana berkata, sejak berusia lapan tahun, dia sudah mampu bermain gendang yang dipelajari secara tidak langsung daripada bapanya.

Katanya, darah seni bermain peralatan muzik tradisional itu diwarisi daripada bapanya yang aktif bermain gendang.

"Saya banyak belajar daripada pemerhatian apabila sering mengikut bapa membuat persembahan. Biarpun peralatan muzik ini biasanya dimainkan lelaki, namun bapa tidak menghalang minat saya terhadap gendang.

"Bagaimanapun, saya hanya serius bermain gendang secara sepenuh masa sejak tahun lalu selepas bapa meninggal dunia.

JULIANA ingin menarik lebih ramai individu terutama golongan muda bermain gendang.
JULIANA ingin menarik lebih ramai individu terutama golongan muda bermain gendang.

"Saya ingin meneruskan legasi bapa supaya aktiviti bermain gendang tidak pupus ditelan zaman," katanya.

Menurutnya, dengan kumpulan pemain alat muzik tradisional yang dinamakan sebagai Raja Ratu Smene, dia ke seluruh negara bagi memenuhi jemputan membuat persembahan di pelbagai majlis termasuk kenduri perkahwinan, program korporat, pertandingan silat dan Muay Thai.

"Nama kumpulan itu adalah sempena gabungan nama saya dengan sahabat, Fairuz Raja Serunai.

"Kumpulan ini dianggotai tujuh ahli dan hanya saya seorang wanita. Ahli lain mempunyai peranan masing-masing termasuk bermain serunai, gendang anak, canang dan sebagainya," katanya.

Juliana berkata, pemain gendang memerlukan tahap kepekaan yang tinggi serta daya ingatan dan pendengaran yang baik.

"Stamina dan kekuatan fizikal juga amat penting kerana perlu bermain selama tiga ke empat jam untuk satu-satu persembahan.

MELUANGKAN masa di gimnasium untuk menguatkan otot tangan
MELUANGKAN masa di gimnasium untuk menguatkan otot tangan

"Oleh itu, saya akan meluangkan masa tiga kali seminggu di gimnasium untuk sentiasa kekal cergas," katanya.

Dia mengakui sejak terbabit secara serius dalam bidang itu, ramai dalam kalangan penonton yang tidak mengenalinya terkejut apabila melihat wanita bermain peralatan muzik itu.

"Pada mulanya mereka agak pelik kerana biasanya melihat lelaki yang memukul gendang. Ada yang bertanya boleh ke saya memukul gendang dan tidak sakit tangan ke?

"Saya tidak salahkan mereka kerana jarang wanita yang bermain peralatan muzik itu. Namun, persepsi itu berubah apabila saya dapat buktikan kemampuan bermain gendang setanding lelaki," katanya.

Katanya, sepanjang terbabit dalam bidang itu, dia mengakui berdepan pelbagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

 JULIANA mempersembahkan Silat Tari Inai.
JULIANA mempersembahkan Silat Tari Inai.

"Antara yang saya tidak dapat lupakan apabila saya pernah 'diserang' tuan rumah di sebuah majlis kenduri kahwin yang dipercayai dirasuk selepas mendengar muzik yang kami mainkan.

"Mujur pada ketika ahli keluarga tuan rumah sempat menghalang dan berjaya memulihkan kembali individu terbabit," katanya.

Dia bersyukur kerana suami, Abdul Muin Che Mohd Fahmi, 39, memberi sokongan sepenuhnya untuk terus bergiat secara aktif dalam seni muzik tradisional.

"Anak-anak saya juga sudah mula menunjukkan minat mempelajari alat muzik itu. Saya gembira kerana sudah ada pelapis untuk meneruskan legasi keluarga bermain alat muzik ini," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia ingin terus mengetengahkan muzik tradisional ini supaya dapat menarik lebih ramai individu terutama golongan muda.

SEDIA berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang berminat mendalami ilmu bermain gendang.
SEDIA berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang berminat mendalami ilmu bermain gendang.

"Saya sedia berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang berminat mendalami ilmu bermain gendang.

"Pada bulan lalu saya didatangi sembilan warga Perancis yang ingin belajar bermain gendang dan saya harap dengan pendedahan seperti ini dapat menarik minat lebih ramai orang tempatan mempelajari ilmu bermain alat muzik tradisional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 6:20 AM