SEKUMPULAN pemuda Palestin membaling batu ke arah askar Israel dalam satu tunjuk perasaan di Ramallah kelmarin.
SEKUMPULAN pemuda Palestin membaling batu ke arah askar Israel dalam satu tunjuk perasaan di Ramallah kelmarin.
Agensi

Baitulmaqdis: Keganasan di Palestin semakin memuncak apabila polis Israel menembak mati dua penduduk Palestin termasuk seorang remaja berusia 16 tahun di timur bandar ini semalam.

Polis rejim Zionis menembak mati seorang remaja Palestin yang menikam dua lelaki Yahudi berhampiran Masjid Al-Aqsa.

Terdahulu, polis Israel menembak mati seorang lelaki Palestin dalam kejadian berbalas tembakan di kem pelarian Shuafat dekat sini.

Pergerakan Hamas dalam satu kenyataan memberitahu, lelaki yang ditembak mati itu, Ahmad Qali, 21, adalah anggotanya.

“Wira kami yang mati syahid ini menentang penjajahan Israel dengan ‘bahasa’ yang difahami mereka,” kata kenyataan itu.

Keganasan yang masuk hari ke-11 itu sehingga kini menyebabkan empat rakyat Israel dan 17 penduduk Palestin terbunuh.

Beberapa penduduk Palestin yang terbunuh itu ditembak mati polis rejim Zionis.

Kejadian terbaru itu berlaku sehari selepas enam penduduk Palestin ditembak mati askar Israel dalam pertempuran di Gaza.

Ketegangan yang semakin memuncak itu mencetuskan kebimbangan mengenai kebangkitan atau intifada terbaru Palestin.

Kebangkitan tercetus apabila Israel membenarkan kumpulan Yahudi termasuk ahli politik memasuki Masjid Al-Aqsa, lokasi ketiga paling suci bagi umat Islam.

Palestin bimbang langkah itu adalah sebahagian muslihat Israel yang mahu membahagikan perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Penganut agama Yahudi sudah lama menuntut perkarangan masjid itu yang didakwa dibina di tapak runtuhan kuil purba mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:04 AM