KEBAKARAN dan asap tebal dilihat di tengah Gaza susulan serangan udara dilancarkan tentera Israel. FOTO AFP
KEBAKARAN dan asap tebal dilihat di tengah Gaza susulan serangan udara dilancarkan tentera Israel. FOTO AFP
Reuters

Gaza: Israel melancarkan serangan udara di tengah Gaza sebelum Subuh, pada pagi Khamis, menurut kenyataan rasmi pejuang Hamas dan sumber tentera Israel.

Ia selepas sebuah roket dilancarkan dari Gaza dan mendarat di Israel.

Pesawat perang Israel menyasarkan pos keselamatan dan sebahagian daripada kemudahan bawah tanah yang digunakan untuk menghasilkan enjin roket, menurut kenyataan tentera Israel.

Terdahulu, sebuah roket yang dilancarkan dari Gaza mengenai selatan Israel.

Ia dipercayai menyebabkan kerosakan di sebuah rumah, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Ketegangan terbaharu antara penduduk Palestin dan rejim zionis di wilayah Palestin yang diduduki secara haram di Israel, menimbulkan kebimbangan mengenai konflik.

Sejak Mac, tentera zionis sudah membunuh sekurang-kurangnya 29 penduduk Palestin menerusi siri serbuan di Tebing Barat.

Beberapa siri serangan di jalanan pula menyaksikan 14 orang terbunuh di Israel.

Dalam pada itu, Hamas dalam kenyataannya berkata, pengeboman Israel hanya akan menggalakkan penduduk Palestin "untuk menentang penjajahan dan meningkatkan sokongan terhadap Baitulmaqdis dan penduduknya."

Konfrontasi di Kota Lama Baitulmaqdis - terutamanya di perkarangan Masjid Al-Aqsa, kawasan yang dipanggil Yahudi sebagai Temple Mount, menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan perang.

Tahun lalu, pejuang Palestin di Hamas dan tentera rejim terbabit dalam perang selama 11 hari yang menyaksikan lebih 250 penduduk Gaza, dan 13 orang di Israel, terbunuh.

Tahun ini, ketegangan berpunca daripada tindakan penganut Yahudi yang merayakan sambutan keagamaan, Passover ketika bulan Ramadan.

Ia selepas tindakan rejim zionis membenarkan lebih ramai penganut Yahudi untuk melawat perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Bagi penduduk Palestin, ia melanggar polisi selama kira-kira lebih seabad bahawa penganut Yahudi boleh melawat kawasan itu tetapi tidak boleh melaksanakan ibadat atau ritual agama mereka di situ.

Israel merampas Baitulmaqdis Timur ketika perang tahun 1967 meskipun tindakan itu tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 11:07 AM