AFP

Baitulmaqdis: Penduduk Islam Palestin semalam akur dengan gesaan supaya tidak memasuki pekarangan Al-Haram Al-Sharif.

Mereka juga meneruskan tunjuk perasaan sebagai membantah tindakan rejim Israel memasang pengesan logam di pintu masuk ke kawasan sensitif itu.

Hanya beberapa pelancong dan pelawat beragama Yahudi kelihatan di dalam pekarangan itu.

Penduduk Islam Palestin juga menunaikan solat di luar pekarangan kompleks berkenaan dan mengadakan bantahan seperti yang dilakukan kelmarin kerana tidak mahu melalui pengesan logam yang dipasang di laluan ke Masjid Al-Aqsa.

Ratusan orang dilihat menunaikan solat di luar dua pintu masuk utama ke lokasi itu tengah hari semalam.

Bantahan turut diadakan selepas solat dengan orang ramai melaungkan takbir dan slogan ‘Masjid Aqsa, kami korbankan jiwa dan nyawa!

Israel memasang pengesan logam itu selepas tiga lelaki Palestin menembak mati dua polis Israel.

Mereka kemudian melarikan diri ke pekarangan kompleks itu sebelum ditembak mati oleh polis Israel yang lain.

Susulan itu Israel bertindak menutup masjid berkenaan untuk solat Jumaat, tindakan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan Jordan selaku penjaga tempat suci berkenaan.

Masjid itu terus ditutup pada Sabtu. Ia dibuka semula Ahad lalu dengan pengesan logam dan kamera keselamatan dipasang.

Pihak berkuasa Al-Aqsa enggan memasuki masjid berkenaan dan menggesa umat Islam turut berbuat demikian.

Penduduk Islam Palestin menganggap tindakan Israel itu sebagai satu lagi usaha untuk menguasai tempat suci berkenaan.

Selain Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, Al-Haram Al-Sharif juga menempatkan Qubbat As-Sakhrah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 9:54 AM