Kuala Lumpur: Penglibatan remaja, khususnya pelajar sekolah, dalam penagihan dadah semakin membimbangkan dengan jumlah mereka meningkat daripada 847 orang pada 2013 kepada 1,114 pada 2014.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat berkata remaja yang terlibat berusia antara 16 dan 19 tahun menunjukkan peningkatan 35 peratus.

"Penglibatan remaja khususnya pelajar sekolah dalam penagihan dadah semakin serius.

"Oleh itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil langkah agresif dengan mengadakan program pencegahan dan rawatan bersama kementerian pelajaran dan sekolah yang berada di kawasan berisiko tinggi," katanya pada sidang media Majlis Anugerah Pengiktirafan Kepulihan Klien AADK 2015 di sini, hari ini.

Justeru beliau menyeru semua pihak termasuk ibu bapa memantau aktiviti harian anak mereka bagi mengelakkan mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Masir juga menyarankan masyarakat memberi sokongan dengan menerima golongan yang terjebak dengan penagihan dadah agar mereka tidak kembali kepada perbuatan silam mereka. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 7:42 PM