Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Dia pernah berulang-alik lebih 500 kilometer dari Kelantan dan Negeri Sembilan setiap minggu selama setahun demi membantu memulihkan anak murid dan rakan sebaya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Itu pengorbanan dilakukan aktivis antidadah yang juga guru Data dan Maklumat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai di sini, Zurkurnan Yusoff, 52, yang menerima Tokoh Anugerah Maulidur Rasul Peringkat AADK Daerah Pasir Puteh, hari ini.

Zurkurnan berkata, dia berulang-alik bagi mengikuti kursus Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah (SPADA) antara 2008 hingga 2009 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan menyambung pengajian SPADA dibuat selepas dia tidak tahan melihat ramai anak murid dan rakannya terjebak dalam penagihan dadah.

"Ketika itu, saya tidak tahu bagaimana cara untuk membantu mereka, saya berasa sedih kerana tidak dapat membantu, jadi saya buat keputusan mohon SPADA.

"Sebaik tamat belajar, saya tubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sertai agensi berkaitan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis dan sebagainya bagi memulihkan penagih," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu dalam majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jajahan Pasir Puteh bersama AADK dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di sini.

Hadir sama Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad dan Pengarah Yadim Kelantan Mahadi Awang.

Zurkurnan berkata, sehingga kini dia sudah membantu lebih 200 penagih dadah termasuk melalui kegiatan keagamaan dan aktiviti pemulihan lain.

Menurutnya, hasil soal-selidik mendapati hampir 50 peratus pelajar dan penagih dadah tidak solat, selain tiada kerjasama dan perhatian ibu bapa menyebabkan mereka lebih mudah terjebak dengan aktiviti tidak bermoral ini.

Katanya, selain mengadakan lawatan rumah ke rumah, dia turut menulis buku Tujuh Langkah Kepulihan dalam Penagihan pada 2009 dan aktif mengadakan ceramah antidadah di sekolah serta televisyen.

Bapa kepada empat anak dan dua cucu itu pernah menerima Anugerah Khas AADK Kelantan pada 2019 dan Anugerah Khas Guru Unggul Pemangkin Kejayaan Anak Bangsa pada tahun sama.

Beliau berkata, antara kejayaan programnya yang paling diingati adalah Munajat 40 kali Jumaat yang mana dia menganjurkan program yang banyak memulihkan penagih ketika itu.

"Program ini berlangsung dengan menempatkan pelanggan AADK yang mana mereka solat Maghrib dan Isyak berjemaah, sesi meluahkan perasaan dan membaca al-Quran.

"Alhamdulillah, ramai yang kembali ke fitrah asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 4:48 PM
Zurkurnan menunjukkan sijil penghargaan Tokoh Anugerah Maulidur Rasul Peringkat AADK Daerah Pasir Puteh, yang diterimanya hari ini. Foto Nor Amalina Alias
Zurkurnan menunjukkan sijil penghargaan Tokoh Anugerah Maulidur Rasul Peringkat AADK Daerah Pasir Puteh, yang diterimanya hari ini. Foto Nor Amalina Alias