Jakarta: Malaysia dan Indonesia bersetuju menerajui penubuhan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang bertujuan memastikan kestabilan harga dan membangunkan industri hiliran komoditi itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kedua-dua negara itu menyumbang 85 peratus kepada pasaran minyak sawit dunia.

“CPOPC juga akan mempromosikan bersama manfaat industri dan derivatif sawit,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Indonesia mengenai Industri Minyak Sawit, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam mesyuarat dua hala itu, Indonesia dan Malaysia juga bersetuju menyelaraskan standard Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

“Selain penyelarasan, kami turut menyertakan perbahasan bagi pembangunan sosioekonomi pekebun kecil,” katanya.

CPOPC juga akan menggalakkan amalan lestari mesra alam dalam industri minyak sawit dan meningkatkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan industri sawit bagi memanfaatkan potensi dalam seluruh rantaian nilai.

Uggah berkata, kerajaan kedua-dua negara akan memudahcarakan inisiatif sektor awam dalam menerajui Zon Ekonomi Hijau di Indonesia dan menggalakkan tokokan nilai industri minyak sawit.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:40 AM